Kes tembak di KLIA: Hafizul Hawari di bicara 8-9 Disember ini
KOTA BHARU - Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu menetapkan 8 dan 9 Disember ini sebagai tarikh perbicaraan kes seorang pengurus syarikat agensi pelancongan, Hafizul Hawari, 38, yang didakwa atas tujuh pertuduhan termasuk kes melibatkan senjata api.
Hakim Zulkifli Abllah menetapkan keputusan itu dalam prosiding sebutan semula kes tersebut di Mahkamah Sesyen di sini.
Mahkamah turut memohon pihak peguam bela menghantar representasi sebelum perbicaraan kes bermula.
Prosiding kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Nik Mohd Faris Syazwan Zainuzzaman.
Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri memaklumkan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang arahan bagi memindahkan kes tersebut ke Selangor.
Nik Mohd Faris Syazwan memohon satu tarikh untuk representasi kes tersebut.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 dan 9 Disember ini untuk perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Sesyen Kota Bharu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Mahkamah Sesyen menetapkan 11 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes melibatkan seorang pengurus syarikat agensi pelancongan yang didakwa atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api.
Mengikut pertuduhan pertama, Hafizul didakwa memiliki pistol tertulis Glock 19 Austria Made In Turkey dalam sebuah kereta jenis Honda Civic di pekarangan sebuah hospital swasta di sini, pada jam 2 petang 15 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37] yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat minimum enam kali, jika sabit kesalahan.
Pada tuduhan kedua, tertuduh didakwa ada dalam milikannya iaitu 33 butir amunisi atau peluru mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 [Akta 206] yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.
Pada tuduhan ketiga, tertuduh didakwa ada dalam milikannya sebungkus plastik mengandungi mercun bola mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada pertuduhan keempat, lima dan enam, tertuduh didakwa memiliki tiga MyKad milik tiga individu berbeza berusia 29,34 dan 35 tahun dan didakwa mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Sabit kesalahan bawah peraturan tersebut, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimun tiga tahun atau dengan denda maksimum RM20,000 atau dengan kedua-duanya.
Pada pertuduhan ketujuh, tertuduh didakwa memandu kereta jenis Honda Civic berwarna putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sabit kesalahan mengikut seksyen itu, tertuduh boleh didenda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000 atau penjara selama minimum setahun dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Sebelum ini, Hafizul ditahan selepas didakwa cuba membunuh isterinya, Farah Md Isa, 38, dengan melepaskan tembakan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 14 April lalu.
Tembakan bagaimanapun terkena pengawal peribadi wanita itu, Mohd Nur Hadith Zain, 38, yang mendapat kecederaan di bahagian perut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!