Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di luar Ekspo Industri Pertahanan Australia

Polis Victoria bertempur dengan penunjuk perasaan semasa perhimpunan menentang Ekspo Industri Pertahanan di Pusat Konvensyen dan Hiburan Melbourne di Melbourne, Australia - Foto: EPA
Polis Victoria bertempur dengan penunjuk perasaan semasa perhimpunan menentang Ekspo Industri Pertahanan di Pusat Konvensyen dan Hiburan Melbourne di Melbourne, Australia - Foto: EPA
A
A
A
SYDNEY - Ribuan penunjuk perasaan anti-perang berkumpul pada pagi Rabu untuk berhimpun di luar pameran industri pertahanan di Melbourne, negeri Victoria, Australia, lapor Xinhua yang memetik media tempatan.

Penunjuk perasaan mula berkumpul pada jam 6 pagi waktu tempatan di luar "Land Forces International Land Defence Exposition" di kawasan pusat perniagaan (CBD) Melbourne, sambil mengibarkan bendera Palestin dan memukul gendang serta melaungkan "free Palestine" (bebaskan Palestin) di tengah-tengah konflik berterusan di Gaza.

Jalan raya bandar disekat dan perkhidmatan pengangkutan awam terganggu pada pagi Rabu.

Menurut media tempatan, polis bertempur dengan penunjuk perasaan dan menggunakan semburan lada apabila objek dilemparkan ke arah pegawai polis berkuda.

Berlangsung dari Rabu hingga Jumaat di Pusat Konvensyen dan Pameran Melbourne, persidangan dwi-tahunan itu telah menarik ratusan syarikat dan organisasi yang mempamerkan teknologi yang boleh membawa maut.
Artikel Berkaitan:


Kerajaan negeri Victoria memberikan kuasa khas kepada polis di bawah undang-undang antikeganasan untuk memeriksa orang awam dan kenderaan di kawasan sekitar acara itu, serta mengerah anggota polis tambahan untuk meningkatkan kawalan keselamatan.

Menteri bagi Industri Pertahanan dan Penyampaian Keupayaan Australia Pat Conroy mengecam protes itu. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!