NUTP mohon wujud kuota anggota tetap dalam NLAC
SHAH ALAM - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) memohon agar kerajaan mewujudkan kuota anggota tetap daripada persatuan itu dalam Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC).
Setiausaha agung NUTP, Fouzi Singon berkata, NLAC adalah badan yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi membolehkan Menteri Sumber Manusia mendapat nasihat, pandangan atau persetujuan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan perburuhan dan sumber manusia di negara ini.
Katanya, pada masa sama NUTP mengharapkan pembaharuan dalam perkhidmatan awam tidak mengurangkan manfaat sedia ada dalam profesion keguruan khasnya laluan kenaikan pangkat secara 'time-based' guru.
"Selain itu, kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Madani khasnya Perdana Menteri atas pengumuman pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada penjawat awam kumpulan pelaksana serta kumpulan pengurusan dan profesional.
"Hal ini membuktikan bahawa kerajaan Madani sangat prihatin terhadap isu-isu kos sara hidup yang dihadapi oleh penjawat awam,''ujarnya dalam satu kenyataan.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong telah mebuat lawatan ke ibu pejabat NUTP baru-baru ini.
Fouzi memberitahu, pihaknya amat teruja dan berterima kasih kepada Steven Sim kerana memilih NUTP dalam rangka kerja beliau berjumpa pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja.
Jelasnya, kunjungan itu menunjukkan kesungguhan dan komitmen Steven Sim untuk mengangkat martabat pekerja di Malaysia seperti yang disebut beliau pada sidang media pertama setelah menggalas tugas sebagai Menteri Sumber Manusia.
"Ia memberikan satu harapan besar kepada pihak kesatuan dalam mengangkat dan membela nasib pekerja-pekerja di negara ini.
"Bagi kami di NUTP, kunjungan ini merupakan satu penghormatan serta pemangkin untuk kerjasama yang lebih erat antara kesatuan sekerja dengan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).
Tambah Fouzi, NUTP turut mengucapkan tahniah dan syabas atas penjenamaan semula Kementerian Sumber Manusia yang kini dikenali sebagai 'Kesuma', yang membawa maksud bunga.
"Semoga bau harum semerbak bunga Kesuma bakal menyemarakkan lagi suasana Perhubungan Perusahaan yang harmonis di antara majikan dan pekerja di negara ini.
"Bersesuaian dengan misi strategik 3K Kesuma, laitu memperkasakan kebajikan, kemahiran dan keberhasilan pekerja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!