UK mulakan proses tamatkan penerbangan terus dengan Iran

Kerajaan UK juga akan memperkenalkan undang-undang di Parlimen pada minggu ini untuk mengetatkan sekatan perdagangan terhadap Iran - Gambar hiasan 123RF
Kerajaan UK juga akan memperkenalkan undang-undang di Parlimen pada minggu ini untuk mengetatkan sekatan perdagangan terhadap Iran - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

MOSCOW - United Kingdom (UK) telah memulakan proses menamatkan penerbangan terus dengan Iran berhubung dakwaan Tehran membekalkan senjata kepada Rusia, lapor Sputnik yang memetik Menteri Pengangkutan, Louise Haigh.

Jerman, UK dan Perancis pada Selasa mengumumkan hasrat mereka untuk membatalkan perjanjian perkhidmatan udara dua hala dengan Iran berikutan dakwaan Tehran membekalkan peluru berpandu balistik kepada Rusia.

"Kami akan terus menggunakan setiap cara yang ada untuk memberi tekanan kepada Iran supaya menghentikan sokongan mereka terhadap pencerobohan Rusia, sebab itu kami telah memulakan penamatan semua perkhidmatan udara terus antara UK dan Iran,” menurut Haigh dalam satu kenyataan pada Selasa.

Selain itu, kerajaan UK akan memperkenalkan undang-undang di Parlimen pada minggu ini untuk mengetatkan sekatan perdagangan terhadap Iran.

Menurut kenyataan itu, sekatan berkenaan menyasarkan barangan yang digunakan dalam penghasilan peluru berpandu balistik, UAV dan senjata lain.

Minggu lepas, CNN yang memetik sumber melaporkan bahawa Iran didakwa telah memindahkan peluru berpandu balistik jarak dekat kepada Rusia untuk digunakan dalam operasi ketenteraan di Ukraine.

Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov, ketika mengulas mengenai laporan CNN itu berkata maklumat sedemikian tidak selalunya tepat.

Sementara itu, Jurucakap Kementerian Luar Iran Nasser Kanaani menafikan dakwaan berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!