Laksana pensijilan halal syarikat makanan secara berperingkat - DPIM

DPIM mencadangkan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi syarikat makanan perlu dilaksanakan secara berperingkat. Gambar kecil: Mohammad Sahar
DPIM mencadangkan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi syarikat makanan perlu dilaksanakan secara berperingkat. Gambar kecil: Mohammad Sahar
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) mencadangkan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi syarikat makanan perlu dilaksanakan secara berperingkat.

Presidennya, Datuk Mohammad Sahar Mat Din berkata, Malaysia boleh mengambil pendekatan sama seperti Indonesia yang turut mewajibkan pensijilan halal ke atas semua produk keluaran mikro, kecil dan sederhana bermula Oktober depan.

“Jika dilihat dari sudut bilangan penduduk dan perniagaan di negara itu, jauh lebih besar dan kompleks.

"Jadi, kami percaya Malaysia juga mampu melaksanakannya dengan lebih efektif,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, DPIM berpandangan bahawa penting untuk menaik taraf tahap perniagaan usahawan khususnya dari status mikro ke kecil hingga ke peringkat seterusnya dipergiatkan.

Ujarnya, ia akan dapat meningkatkan keupayaan sebuah perniagaan sekali gus mampu dan mudah mematuhi aspek pematuhan yang ditetapkan.

“DPIM yakin dengan pelaksanaan pensijilan halal yang meluas dalam kalangan semua jenis usahawan yang berkaitan akan memberikan capaian jaminan halal yang lebih meluas kepada umat islam.

“Ia juga dapat meningkatkan bilangan pemain industri halal bukan hanya di peringkat domestik malah di peringkat global,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Mohammad Sahar memaklumkan tindakan tersebut akan menaikkan imej negara bukan sekadar mempunyai standard pematuhan halal terbaik dan dicontohi, namun ia akan disegani kerana mempunyai syarikat berstatus halal yang berdaya saing.

Selain itu, Mohammad Sahar memaklumkan, DPIM menyambut baik hasrat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengkaji cadangan mewajibkan restoran yang tidak menghidangkan menu babi dan alkohol untuk memiliki sijil halal.

Ujarnya, cadangan mewajibkan sijil halal secara langsungnya memberi jaminan kepada umat islam kepada capaian sumber makanan halal yang dihidangkan di restoran dan syarikat pengilangan makanan.

“DPIM melihat cadangan ini sebagai satu usaha yang sangat murni dan secara langsungnya akan dapat meningkatkan bilangan capaian sumber halal yang lebih meluas.

“Ia juga dapat meningkatkan bilangan pemegang sijil halal di Malaysia yang mana akan meningkatkan potensi bilangan pemain industri halal yang boleh diketengahkan di peringkat global,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!