Ketahui isyarat jari yang betul ketika tahiyat dalam solat

MASIH ramai yang keliru tentang waktu sesuai untuk mengangkat isyarat jari telunjuk ketika tahiyat dalam solat. -Foto: Canva
MASIH ramai yang keliru tentang waktu sesuai untuk mengangkat isyarat jari telunjuk ketika tahiyat dalam solat. -Foto: Canva
A
A
A

KETIKA berada dalam kedudukan tahiyat semasa mendirikan solat, tiba saatnya kita akan mengangkat jari telunjuk.

Jika diperhatikan, masih ramai yang keliru tentang waktu yang sesuai untuk mengangkat jari telunjuk itu dan ‘menjatuhkannya’.

Ini kerana terdapat segelintir orang menurunkan jari sebelum tamat membaca tahiyat, ada pula yang melakukan sebaliknya.

Bagaimanakah cara isyarat jari yang betul ketika tahiyat dan waktu untuk mengangkat serta menurunkannya?

Sebelum menghuraikan jawapannya, Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan) Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed terlebih dahulu memberi penjelasan tentang perbuatan mengangkat jari telunjuk yang menjadi amalan sunat di dalam solat ketika tahiyat.

DR SYED SHAHRIDZAN
DR SYED SHAHRIDZAN

Ia berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Umar RA, beliau berkata: “Rasulullah SAW apabila duduk (tahiyat), Baginda meletakkan tapak tangan kanan di atas paha kanan dan tapak tangan kiri di atas paha kiri, sambil mengangkat jari telunjuk dalam keadaan ibu jari diletakkan di atas jari tengah, manakala tapak tangan kiri Baginda pula menutup bahagian lutut.” (Hadis Riwayat Muslim)

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, mengikut Mazhab Syafie, jari telunjuk diangkat ketika sebutan lafaz ‘Illallah’.

“Berpandukan riwayat dalam Musannaf Abdul Razzaq, Ibnu ‘Abbas RA ketika ditanya oleh seorang lelaki tentang menggerakkan jari ketika solat, beliau menjawab perbuatan itu sebagai ikhlas mengesakan ALLAH SWT.

“Dalam Al-Sunan al-Kubra, Imam Al-Baihaqi meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Abbas RA ketika ditanya tentang perbuatan seorang lelaki berdoa sambil mengangkat jari ketika solat, beliau menjawab ia adalah ikhlas mengesakan ALLAH,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

MENURUT Mazhab Syafie, jari telunjuk diangkat ketika sebutan lafaz ‘Illallah’. -Foto: Canva
MENURUT Mazhab Syafie, jari telunjuk diangkat ketika sebutan lafaz ‘Illallah’. -Foto: Canva

Berdasarkan fakta itu, ujar Dr Syed Shahridzan, jelaslah bahawa para ulama Mazhab Syafie (Ashabul Wujuh) berpandangan, disunatkan mengangkat jari untuk mentauhidkan ALLAH SWT.

“Oleh yang demikian, jari telunjuk diangkat ketika bacaan kalimah ‘Illallah’ kerana ia adalah frasa yang mengisbatkan keesaan ALLAH SWT,” katanya.

Waktu bilakah jari telunjuk tadi perlu diturunkan?

Menjawab persoalan itu, Dr Syed Shahridzan merujuk kepada pandangan Sheikh Syubramullisi yang menyatakan terdapat dua pendapat tentangnya.

Pertama, jari telunjuk diturunkan selepas salam pertama dan kedua, selepas selesai kedua-dua salam dalam solat.

“Syeikh Syubramullisi juga menjelaskan zahir pandangan Imam Ibnu Hajar bahawa jari telunjuk diturunkan setelah selesai tasyahud (bacaan tahiyat).

“Bagaimanapun, Sheikh Sato Al-Bakri tidak bersetuju dengan kenyataan ini dan beliau menganggap kalam Imam Ibnu Hajar bukan bermaksud salam dalam solat terkeluar daripada lingkungan isyarat jari telunjuk, bahkan beliau mentakwil pandangan tersebut sebagai isyarat jari yang berterusan sehingga selesai solat (salam),” katanya.

Merujuk kepada hujah Mazhab Syafie, mereka bersandarkan hadis yang bermaksud: “Abdullah bin Umar RA meriwayatkan bahawa ketika Rasulullah SAW duduk (tahiyat), Baginda meletakkan kedua-dua tangan pada kedua lututnya dan Baginda mengangkat jari telunjuk kanannya lalu berdoa dengannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Bersandarkan hadis itu, Dr Syed Shahridzan menjelaskan, ulama Mazhab Syafie berpandangan kalimah ‘lalu Baginda berdoa dengannya’ menunjukkan bahawa kedudukan jari telunjuk kekal diangkat sehingga selesai solat.

FUQAHA Syafi’iyyah berijtihad bahawa jari diturunkan setelah selesai kedua-dua salam, iaitu apabila salam selesai diucapkan maka doa juga dianggap selesai. -Foto: Canva
FUQAHA Syafi’iyyah berijtihad bahawa jari diturunkan setelah selesai kedua-dua salam, iaitu apabila salam selesai diucapkan maka doa juga dianggap selesai. -Foto: Canva

“Ini kerana jari perlu kekal diisyaratkan selagi mana bacaan doa dilafazkan. Sudah tentu selawat dan bacaan tahiyat (merupakan) sebahagian daripada doa, bahkan ucapan salam juga dikategorikan sebagai doa.

“Oleh yang demikian, fuqaha Syafi’iyyah berijtihad bahawa jari diturunkan setelah selesai kedua-dua salam, iaitu apabila salam selesai diucapkan maka doa juga dianggap selesai,” terangnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!