'Abah pesan jadilah pemimpin baik, amanah' - Syed Hussien

Syed Hussien menyiram air ke atas pusara ayahnya Syed Abdullah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Kluang pada Rabu.
Syed Hussien menyiram air ke atas pusara ayahnya Syed Abdullah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Kluang pada Rabu.
A
A
A

KLUANG - "Abah ada berpesan supaya jadilah pemimpin yang baik dan amanah, pasti akan disayangi rakyat," kata Syed Hussein Syed Abdullah, 40.

Syed Hussein yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota berkata, pesanan Allahyarham ayahnya, Syed Abdullah Syed Abdul Hamid akan menjadi pembakar semangat sepanjang tempoh berkempen nanti.

Malah amanat terakhir ayahnya itu akan diingati sepanjang masa dan terus berjuang membawa suara rakyat di kawasan DUN Mahkota.

Dalam pada itu, Syed Hussein yang merupakan anak kedua daripada lima beradik tidak menyangka hanya beberapa jam selepas dipilih sebagai calon PRK, bapanya itu terpaksa dimasukkan ke hospital.

Jelas beliau, bapanya itu dimasukkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) dan ditidurkan akibat masalah jantung yang dihidapi.

"Selepas kira-kira 48 jam ditidurkan, abah akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir.

"Pemergian ayah tidak sedikit pun melemahkan semangat saya untuk terus berjuang memenangi pilihan raya ini," katanya.

Ahli keluarga, saudara dan penduduk setempat hadir memberi penghormatan terkahir di pusara Syed Abdullah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Kluang pada Rabu.
Ahli keluarga, saudara dan penduduk setempat hadir memberi penghormatan terkahir di pusara Syed Abdullah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Kluang pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika ditemui sebaik selesai pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu di sini pada Rabu.

Syed Abdullah, 67, dimasukkan ke hospital pada Ahad dan terpaksa ditidurkan sebelum menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira 7.20 petang Selasa.

Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda UMNO Kluang dipilih BN sebagai calon bagi PRK DUN Mahkota susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi pilihan raya itu pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!