Ops Jebat dan Minang: LHDN audit 585 perniagaan di Melaka, Negeri Sembilan

Ops Jebat dan Minang itu merupakan satu operasi pengauditan serta serahan surat saman yang melibatkan seksyen audit cukai, pungutan, undang-undang serta lain-lain seksyen yang terlibat secara tidak langsung. - Gambar hiasan, gambar kecil: Hisham
Ops Jebat dan Minang itu merupakan satu operasi pengauditan serta serahan surat saman yang melibatkan seksyen audit cukai, pungutan, undang-undang serta lain-lain seksyen yang terlibat secara tidak langsung. - Gambar hiasan, gambar kecil: Hisham
A
A
A

MELAKA - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan melaksanakan audit terhadap 585 entiti perniagaan membabitkan syarikat dan individu di Melaka dan Negeri Sembilan sepanjang tiga hari Ops Jebat dan Minang dilaksanakan bermula hari ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN, Datuk Hisham Rusli berkata, Ops Jebat dan Minang itu merupakan satu operasi pengauditan serta serahan surat saman yang melibatkan seksyen audit cukai, pungutan, undang-undang serta lain-lain seksyen yang terlibat secara tidak langsung.

"Objektif penganjuran program ini adalah untuk meningkatkan kadar pematuhan secara sukarela serta mengurangkan pengelakan cukai dalam kalangan pembayar cukai, sekali gus dapat meningkatkan kutipan secara keseluruhan.

"Persediaan awal operasi mengenal pasti sejumlah 327 kes di Melaka dan 258 kes di Negeri Sembilan untuk dilawati kali ini, membabitkan 102 pegawai LHDN Melaka dan 95 pegawai LHDN Negeri Sembilan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ops Jebat dan Minang di Menara Hasil, Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pematuhan Cukai LHDN Norfaidah Daud, Pengarah LHDN Melaka Shahriz Ramli dan Pengarah LHDN Negeri Sembilan Mukhtar Abdul Kadir.

Hisham berkata, Operasi Pematuhan Cukai itu akan melibatkan aktiviti pengauditan terhadap pelbagai industri berpotensi dan dikenal pasti seperti pemaju hartanah, kontraktor pembinaan dan kontraktor am, kejuruteraan kapal, pembuatan dan jual tekstil, sektor pendidikan, penyediaan perkhidmataan profesional, pembuatan dan pemprosesan, pengilangan, perubatan dan pertanian.

Beliau berkata, operasi kali ini juga adalah kesinambungan daripada beberapa operasi yang diadakan sebelum ini iaitu Ops Hidang, Ops Borneo, Ops Zapin, Ops Gading, Ops Labuan, Ops Pantai Timur, Ops Mega dan Ops Mega Corp yang diadakan di seluruh negara.

"Harapan saya operasi bersepadu ini bukan sahaja mencapai objektif utamanya untuk meningkatkan kadar pematuhan cukai dalam kalangan pembayar cukai, tetapi menjadi wadah membantu dalam memantapkan lagi pengetahuan audit dan teknikal dalam kalangan pegawai-pegawai terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Besarlah harapan saya supaya dengan kerjasama secara kumpulan ini dapat meningkatkan kemahiran pegawai audit dengan pertukaran pengetahuan dalam kalangan pegawai audit lama dan baharu,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!