KM Gagah kembali operasi

KM Gagah berukuran 39.5 meter panjang dan tujuh meter lebar dengan berat 221 tan itu mampu memuatkan 27 kru beroperasi sebagai kapal peronda menjaga perairan negara khususnya di Selat Melaka.
KM Gagah berukuran 39.5 meter panjang dan tujuh meter lebar dengan berat 221 tan itu mampu memuatkan 27 kru beroperasi sebagai kapal peronda menjaga perairan negara khususnya di Selat Melaka.
A
A
A

LUMUT - Kapal Maritim (KM) Gagah yang menjangkau usia lebih 40 tahun kembali memperkukuh operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas 20 bulan menjalani program senggaraan jentera utama.

Perolehan penggantian jentera (repowering) dan pasang pulih (refit) ke atas kapal peronda pertama dalam kelas 'gagah' itu dijalankan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Resources Sdn Bhd melalui kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan UniKL Malaysia Institute of Marine Engineering Technology (UniKL Mimet).

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kejuruteraan Maritim, Kepten Maritim Mohd Rizal Hishamuddin berkata, skop kerja dilakukan termasuklah penggantian enjin, penyelenggaraan struktur badan kapal serta pelbagai sistem utama antaranya jentera mekanikal, sistem elektrikal dan elektronik.

Mohd Rizal (kiri) dan Dr Azmi (kanan) ketika meninjau bahagian bilik jentera KM Gagah.
Mohd Rizal (kiri) dan Dr Azmi (kanan) ketika meninjau bahagian bilik jentera KM Gagah.

Menurutnya, turut dilakukan penyelenggaraan sistem pendorong utama, sistem bekalan kuasa elektrik, kerja pembaikan sistem gear stereng, pembaikan peralatan domestik serta sistem navigasi bagi membolehkan jangka hayat kapal dipanjangkan dan mampu beroperasi lebih lama lagi.

"KM Gagah yang siap dibaik pulih itu telah melalui fasa Harbour Acceptance Trial (HAT) dan Sea Acceptance Trial (SAT) pada 23 dan 28 Ogos lalu di Selat Melaka dengan keupayaan melakukan operasi di laut dalam jangka waktu tujuh hari tanpa ulang bekal serta mampu mencapai kelajuan 21.7 knot.

"Dengan adanya KM Gagah yang bakal beroperasi akan membantu Maritim memperkukuh lagi pengoperasian demi memastikan Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Perak berada dalam keadaan selamat dan sejahtera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penyeragan KM Gagah daripada UniKL Resources Sdn Bhd kepada Maritim di Limbungan UniKL Mimet di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Pengarah Mara Perak, Rizal Effendi Razali; Timbalan Presiden Jaringan Antarabangsa, Industri dan Institusi UniKL, Profesor Ir Dr Azmi Hassan dan Ketua Cawangan Pengurusan Projek Bahagian Pembangunan Maritim, Kepten Maritim Mohammad Nasir Man.

Mohd Rizal (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada Pegawai Memerintah KM Gagah, Leftenan Komander Maritim Mohd Arizan Hakimi Mohd Zin.
Mohd Rizal (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada Pegawai Memerintah KM Gagah, Leftenan Komander Maritim Mohd Arizan Hakimi Mohd Zin.

Kerja penyelenggaraan KM Gagah telah bermula Disember 2022 di Limbungan UniKL Mimet Lumut menggunakan tenaga pakar UniKL Mimet selain dipantau Ship Classification Malaysia (SCM) bagi memastikan kerja-kerja dilakukan mengikut piawaian ditetapkan.

Mohd Rizal berkata, kapal berukuran 39.5 meter panjang dan tujuh meter lebar dengan berat 221 tan itu mampu memuatkan 27 kru dilengkapi dengan sebuah bot jenis Rigit Inflatable Boat (RHIB) serta didatangkan bersama radar i-band bagi memastikan pemantauan secara meluas dapat dilakukan.

Katanya, dengan penambah baikan itu, KM Gagah diharap mampu memberikan nilai pulangan pelaburan (ROI) kepada kerajaan melalui penguatkuasaan aktiviti jenayah rentas sempadan yang berlaku di perairan negara khususnya di Selat Melaka.

"Kejayaan perolehan ini adalah bukti keprihatinan KDN dalam memastikan aset agensi snetiasa berada dalam keadaan baik dan bersiap sedia menjaga keselamatan perairan negara," katanya.

Sementara itu, Dr Azmi berkata, projek pembuatan dan pembaikan tersebut telah membuka peluang kepada 117 pelajar UniKL Mimet mempelajari dan memahami kaedah sesuatu projek bertaraf industri sebenar.

"Projek ini juga telah membuktikan bahawa tenaga mahir yang dihasilkan melalui laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) amatlah diperlukan oleh industri pembinaan dan pembaikan kapal pada masa ini," katanya.

KM Gagah yang dibina pada 1980 itu telah memasuki perkhidmatan Pasukan Polis Marin selama 26 tahun sebelum diserahkan kepada Maritim secara berperingkat bermula Jun 2005.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!