Pemandu terlelap, Myvi terjunam dari jambatan

Remuk... keadaan kereta Perodua Myvi mangsa yang terjunam dari jambatan setinggi kira-kira 30 meter.
Remuk... keadaan kereta Perodua Myvi mangsa yang terjunam dari jambatan setinggi kira-kira 30 meter.
A
A
A

MELAKA - Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta Perodua Myvi yang dipandunya terbabas sebelum terjunam dari atas Jambatan Syed Abdul Aziz setinggi kira-kira 30 meter di sini, pada pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 5.30 pagi apabila lelaki yang memandu sendirian itu dipercayai terlelap akibat mengantuk.

Menurutnya, ketika kejadian lelaki yang beralamat di Taman Paya Rumput Indah, Alor Gajah dalam perjalanan dari arah pusat bandar menghala ke Limbongan.

"Setiba di lokasi dia dipercayai terlelap ketika memandu, menyebabkan kereta yang dipandunya terbabas ke bahu jalan sebelum merempuh penghadang.

"Impak kejadian itu menyebabkan kenderaan terbabit terjatuh ke bawah jambatan setinggi kira-kira 30 meter," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Christopher Patit berkata, mangsa bagaimanapun terselamat dan mengalami kecederaan di bahagian badan serta kaki kanan lalu dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut dan keadaanya dilaporkan stabil.

"Polis juga sedang berusaha mengesan saksi kejadian dan kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59)," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!