Perang menentang kuman

3
3
A
A
A

PENULIS buku Guns, Germs and Steel dari Amerika Syarikat, Profesor Jared Diamond mengingatkan bahawa kuman, penyakit dan wabak hakikatnya adalah sebahagian daripada citra peradaban manusia sejak ribuan tahun lamanya.

Tanpa kuman, kata beliau, perjalanan hidup manusia mungkin amat berbeza daripada hari ini.

Selama beberapa abad, penyakit yang berpunca daripada kuman, sama ada bakteria atau virus, sentiasa menjadi bayang-bayang misteri yang menghantui manusia.

Ini termasuklah Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), selesema burung H5N1, Ebola, Zika, Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS-Cov) dan yang terbaharu, koronavirus.

Di sebalik sisi buruknya, penyakit jangkitan kuman tersebut menyaksikan dunia perubatan banyak mengalami revolusi penciptaan teknologi baharu yang serba canggih.

Lebih penting lagi, kehadiran kuman pembawa penyakit telah mengubah nilai-nilai kehidupan manusia seperti sikap menjaga kebersihan bagi mengelak daripada dijangkiti.

Wabak koronavirus yang menyerang China sejak Disember lalu mencapai kemuncaknya pada Jumaat lalu apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkannya sebagai bencana kesihatan global.

Setakat semalam, virus pembunuh itu telah meragut lebih 300 nyawa.

Artikel Berkaitan:

Di Wuhan iaitu tempat wabak itu bermula, seramai 11 juta penduduknya hidup dalam ketakutan. Sekurang-kurangnya 13 bandar di China dikenakan perintah kuarantin.

Jangkitan ‘virus Wuhan’ itu mendapat reaksi negatif daripada masyarakat antarabangsa terhadap China dan rakyatnya.

Pasar Borong Makanan Laut Huanan di Wuhan yang kotor, jijik dan menjual makanan pelik-pelik dipersalahkan.

Boleh dikatakan, stereotaip perkauman tidak dapat dielakkan lagi.

Ini turut membabitkan anggapan bahawa rakyat China dan kebanyakan orang Cina di luar Tanah Besar adalah pengotor dan tidak mementingkan kesihatan.

Persepsi itu amatlah tidak adil. Kebersihan bukanlah masalah orang Cina sahaja tetapi meliputi bermacam-macam masyarakat dan budaya.

Di sesetengah negara Islam sendiri, kebersihan masih menjadi masalah walaupun ia merupakan tuntutan agama.

Bahkan negara-negara Islam tidak pernah diiktiraf sebagai negara atau bandar terbersih di dunia apatah lagi ranking 10 terbaik.

Antara bandar paling bersih di dunia yang pernah disenaraikan Mercer Global Financial ialah Calgary di Kanada diikuti Adelaide, Australia; Honolulu dan Minneapolis di Amerika Syarikat serta Kobe, Jepun.

Kajian Mercer itu berdasarkan lima faktor iaitu air minuman bersih yang mudah didapati, sistem pembuangan sampah, kualiti pembetungan, pencemaran udara dan kesesakan lalu lintas.

Tabiat makan makanan pelik atau membuang sampah merata-rata yang sinonim dengan sikap pengotor bagaimanapun tidak diambil kira dalam kajian itu.

Namun, untuk berlaku adil, Calgary sendiri dilaporkan bebas daripada sampah.

Di sana sangat susah untuk melihat orang membuang sampah atau meludah merata-rata.

Cara orang menilai kebersihan mungkin berbeza-beza di seluruh dunia.

Ada orang mengatakan untuk mengetahui tahap kebersihan penghuni sebuah rumah lihatlah bilik airnya.

Untuk melihat kebersihan sebuah restoran periksalah dapurnya. Kalau hendak menilai kebersihan sebuah negara pula perhatikan sikap rakyatnya.

Apa pun, amalan menjaga kebersihan merupakan langkah penting pencegahan dan penentu kejayaan dalam ‘perang menentang kuman’.

Ramai yang telah terkorban dalam ‘perang' tersebut namun, lebih ramai manusia yang terus hidup dan mendapat manfaat daripada peristiwa wabak dalam pelbagai cara.

*Mohd Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!