Malaysia teroka teknologi UAV, sasar hasilkan UAV tempatan - Ahmad Zahid
SHANGHAI - [DIKEMAS KINI] Malaysia terus mengukuhkan usaha dalam penerokaan teknologi pesawat tanpa pemandu (UAV) melalui kerjasama dengan China, termasuk pertukaran dan perkongsian kepakaran serta teknologi dalam bidang tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama antara MARA Aerospace & Technologies Sdn Bhd dan Honeycomb Aerospace Technologies (Beijing) Co Ltd, syarikat ketiga terbesar dalam teknologi pesawat tanpa pemandu (UAV) di China akan membolehkan Malaysia menghasilkan teknologi itu.
Beliau berkata, teknologi itu banyak digunakan dalam bidang pertanian dan kawasan sempadan, justeru, langkah kerjasama itu membolehkan Malaysia menghasilkan teknologi UAV bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa.
"Sebagai permulaan, syarikat ini akan memindahkan teknologi ini kepada University Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) di Sepang untuk melatih pelajar dalam pembuatan UAV selain akan mulakan pemasangan pertama UAV pada bulan depan dengan sasaran penghasilan awal sebanyak 3,000 unit setahun.
"Pada tahun hadapan, syarikat ini akan melabur RM100 juta untuk membuka premis kekal bagi melatih pelajar dalam bidang TVET,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) berkenaan di bandar itu di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, dalam bidang pertanian, penggunaan teknologi tersebut akan dimulakan di kawasan penanaman padi FELCRA untuk proses pembajaan, peracunan, dan lain-lain.
Terdahulu, beliau menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MARA Aerospace & Technologies Sdn Bhd dan Honeycomb Aerospace Technologies (Beijing) Co Ltd sebagai usaha untuk meneroka perniagaan dalam bidang pemasangan, pembuatan dan pembekalan produk UAV bagi pasaran serantau.
MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARA Corporation Zulkarnain Taman, dan Pengurus Besar Honeycomb Aerospace Liu Tiejun.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, merangkap penasihat khas kepada Ahmad Zahid bagi lawatan kerja ke China.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, radius operasi UAV yang bakal dihasilkan itu adalah kira-kira 300km.
"Kerjasama ini memanfaatkan prestasi syarikat tersebut yang merupakan antara pengeluar UAV terbesar di China dengan keupayaan menghasilkan lebih 300,000 unit setahun.
"UAV ini sudah ada permintaannya, sebab itu mereka berani untuk melabur, malah mereka turut mengenal pasti bidang lain yang akan kemukakan selepas kejayaan yang akan dibina.
"Yang penting adalah keikhlasan mereka memilih MARAcorportation Sdn Bhd sebagai rakan kongsi sebagai satu daripada syarikat pengeluar UAV terbesar di China. Mereka sanggup jalinkan perkongisan jangka panjang dan ini akan memberikan manfaat kepada pelajar UNIKL, khususnya di MIAT, Sepang," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!