'Saya tak pasti rumah itu ada penunggu'

Laporan Sinar Harian 21 Januari lalu.
Laporan Sinar Harian 21 Januari lalu.
A
A
A

TANJONG KARANG - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki mendakwa tidak pernah diganggu makhluk halus sepanjang lebih 50 tahun tinggal bersebelahan dengan sebuah rumah tidak berpenghuni yang tular berikutan penemuan mayat seorang lelaki warga Indonesia di Kampung Melaka, Bagan Tengkorak di sini Khamis lalu.

Hasnawi Hashim, 50, berkata, dakwaan kononnya rumah tidak berpenghuni yang hanya kira-kira 30 meter dari rumahnya itu 'berpenunggu' tidak dipastikan kebenarannya kerana ia hanya disampaikan dari mulut ke mulut.

"Saya pernah mendengar cerita kononnya penyewa warga Nepal pernah menghuni di sini tak tahan kerana sering diganggu, namun sejauh mana kebenaran di sebalik cerita itu saya tak pasti kerana pemilik rumah ini sentiasa bertukar.

"Rumah ini asalnya milik seorang guru lelaki tapi dijual selepas lelaki itu meninggal dunia pada tahun 1990-an, malah beberapa penduduk pernah tinggal di rumah ini juga tak pernah bercerita sesuatu yang aneh berlaku," katanya.

Hasnawi meminta orang ramai tidak menyebarkan perkara tidak diketahui kebenaran di media sosial yang hanya mengundang persepsi masyarakat.

"Saya jiran sebelah rumah pun tidak berani hendak komen, peliknya ada pihak lain yang tidak tahu dari mana muncul dengan kenyataan yang ditokok tambah

"Tapi, saya terkejut arwah ditemui mati. Hampir setahun saya tak nampak arwah di rumah ini, malah pintu dan tingkap rumah tertutup rapat hinggalah tiada bau mencurigakan walaupun arwah sudah meninggal dunia sebulan lalu," katanya.

Hasnawi yang tinggal bersebelahan dengan sebuah rumah tidak berpenghuni mengakui tidak pernah diganggu makhluk halus sepanjang menetap di situ lebih 50 tahun lalu.
Hasnawi yang tinggal bersebelahan dengan sebuah rumah tidak berpenghuni mengakui tidak pernah diganggu makhluk halus sepanjang menetap di situ lebih 50 tahun lalu.

Dalam pada itu, seorang lagi jiran, Khaliza Sarijan, 53, berkata, selepas beberapa tahun berkahwin dengan Basiron hashim, 59, dia pulang ke kampung suami dan menetap berhampiran rumah misteri terbabit.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sepanjang berjiran puluhan tahun, dia tidak mengetahui terdapat kejadian aneh berlaku di rumah misteri itu.

"Saya tinggal di sini dah lama tapi tak ada pula sesuatu yang pelik berlaku, malah kami tak pernah diganggu makhluk halus. Kalau boleh, saya minta mereka hentikanlah menyebar perkara tidak benar.

"Kasihanlah pada pemilik rumah yang difahamkan mahu jual tanah ini. Kalau cerita ini disebar sudah tentu orang ramai rasa takut hendak membelinya," katanya.

Hasnawi (kiri) dan Khaliza.
Hasnawi (kiri) dan Khaliza.

Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan, jemaah Surau Batu 11 di sini, gempar dengan penemuan nota misteri yang membawa kepada penemuan mayat disyaki seorang lelaki berusia kira-kira 60-an di sebuah rumah di Kampung Melaka, Bagan Tengkorak di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, jemaah yang baru sahaja menunaikan solat Zohor terkejut menemui nota misteri diletakkan di peti surat surau itu yang meminta penduduk menguruskan jenazah di sebuah rumah tidak berpenghuni.

ARTIKEL BERKAITAN: Nota misteri bongkar penemuan mayat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!