Ketegangan di Laut China Selatan: Malaysia guna saluran diplomatik

Perairan Sarawak di Laut China Selatan. Gambar fail Bernama
Perairan Sarawak di Laut China Selatan. Gambar fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Malaysia menggunakan saluran diplomatik dalam isu ketegangan yang semakin meningkat di Laut China Selatan.

Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membincangkan perkara tersebut secara khusus.

"Sebarang isu berbangkit akan diuruskan melalui saluran diplomatik," katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini pada Rabu.

China sejak awal tahun ini dilaporkan meningkatkan keberadaan pasukan tentera dan pengawal pantai di Laut China Selatan khususnya di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Terbaharu, Wisma Putra mengesahkan menerima laporan kehadiran kapal asing pelantar minyak luar pesisir di negara ini di perairan Sarawak pada Sabtu lalu.

Kehadiran pasukan tentera dan pengawal China itu turut menyebabkan beberapa insiden pertembungan dengan tentera Filipina dengan kejadian terkini dilaporkan pada 31 Ogos lalu.

Ditanya sama ada Malaysia akan membawa isu berkenaan pada persidangan di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), Fahmi berkata, perkara itu tidak dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri berikutan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak menghadiri mesyuarat.

"Menteri Luar akan mewakili Perdana Menteri dan kerajaan ke UNGA tahun ini bersama satu atau dua orang menteri lagi tetapi agenda khusus tidak dibincangkan, malah Mohamad tak hadir mesyuarat hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kita perlu tunggu, sebelum berangkat ke UNGA," katanya.

Beijing menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan termasuk kawasan yang dituntut oleh Filipina, Brunei, Malaysia, Taiwan dan Vietnam.

Sebahagian daripada laluan perairan itu merekodkan nilai perdagangan AS$3 trilion setiap tahun yang mana ia kaya dengan simpanan minyak dan gas asli selain menjadi sumber perikanan utama bagi negara serantau.

Pada tahun 2016, Mahkamah Timbang Tara Tetap memutuskan tuntutan menyeluruh China tidak mempunyai asas undang-undang, tetapi ia ditolak oleh Beijing.

Jun lalu, Amerika Syarikat (AS) menegaskan semula komitmennya terhadap keselamatan Filipina selepas Manila menuduh China dengan sengaja menghentikan penghantaran bekalan kepada tentera Filipina yang ditempatkan di Beting Thomas Kedua yang dipertikaikan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!