MAINS lancar MyWaghih, tawar diskaun sehingga 10 Oktober
SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menawarkan kupon promo ‘Mainspromo' kepada semua masyarakat sepanjang tempoh pengenalan sistem itu sehingga 10 Oktober ini sempena pelancaran sistem MyWaghih semalam.
Pengerusi MAINS, Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir berkata, menerusi kupon promo itu masyarakat berpeluang menikmati diskaun ketika menggunakan system MyWaghih.
Menurutnya, MyWaghih diwujudkan bagi memastikan pengurusan wasiat lebih mudah dan pantas secara atas talian.
"MAINS mula menawarkan perkhidmatan pengurusan harta sejak 2018 sehingga kini dan sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik serta menjadi tempat rujukan utama dalam pengurusan harta orang Islam khususnya di Negeri Sembilan.
"Ia merangkumi perkhidmatan runding cara faraid, tuntutan harta pusaka, penyaluran wang tidak patuh syariah, wang orang berhutang, harta tidak dituntut, penyerahan harta luqatah serta bayaran fidyah dan kaffarah.
"Jadi dengan wujudnya sistem MyWaghih ini, MAINS yakin akan berlakunya peningkatan secara drastik kerana permohonan dan bayaran akan menjadi sangat mudah di akses oleh pemohon serta pembayar sendiri," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Dr Abdul Aziz, melalui sistem MyWaghih, MAINS menggabungkan dua elemen penting dalam perancangan pembahagian harta iaitu wasiat dan hibah dalam satu sistem pintar.
Jelasnya, permohonan dan kelulusan sistem MyWaghih akan diuruskan seratus peratus secara dalam talian selain menawarkan penggunaan Electronik Know Your Customer (EKYC) yang diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia sepertimana yang dilaksanakan oleh institusi-institusi kewangan di negara ini.
"Besarlah harapan MAINS agar sistem MyWaghih ini dapat memberi kemudahan baharu kepada masyarakat Islam dalam usaha membantu dan merancang pembahagian harta dengan lebih bijaksana serta sistematik. Ia bagi mengelakkan isu serta pertikaian harta pusaka di kalangan waris-waris di kemudian hari kelak.
"Pengurusan harta yang melibatkan zakat, wakaf dan Mal di MAINS dapat memberi manfaat kepada semua masyarakat di Negeri Sembilan serta sampai kepada penerima sasaran seterusnya tadbir urus MAINS membawa kepada pentadbiran harta Islam yang lebih efisien, adil, dan berintegriti," ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berkata, Simposium Pentadbiran Harta Islam diadakan bagi memperkukuh kefahaman dan memperluas perbincangan mengenai pentadbiran harta umat Islam.
"Pentadbiran harta Islam merupakan satu topik yang bukan sahaja relevan dari sudut agama, tetapi juga penting dari perspektif ekonomi dan sosial.
"Oleh itu, simposium ini menjadi platform yang tepat untuk kita sama-sama berbincang, bertukar pandangan dan mencari solusi terbaik dalam memastikan harta umat Islam dapat diurus serta diagihkan dengan sebaik mungkin menurut syariah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!