[VIDEO] 'Ingatkan pencuri, rupanya beruk'

A
A
A

JEMPOL - Tingkap serambi terbuka dan ruang depan rumah berselerak yang disangkakan angkara pencuri rupanya akibat 'dikerjakan' sekumpulan beruk.

Nor Evawani menunjukkan siling rumahnya yang rosak angkara sekumpulan beruk. (Kanan: Keadaan dapur di rumah Nor Evawani ketika kejadian.)
Nor Evawani menunjukkan siling rumahnya yang rosak angkara sekumpulan beruk. (Kanan: Keadaan dapur di rumah Nor Evawani ketika kejadian.)

Kejadian berlaku di Kampung Serting Ilir di sini pada 31 Ogos lalu menyebabkan barang-barang dalam rumah yang dihuni tiga beranak rosak selain terdapat najis dan darah binatang berkenaan bertaburan atas lantai.

Keadaan sebuah bilik di kediaman Nor Evawani ketika kejadian.
Keadaan sebuah bilik di kediaman Nor Evawani ketika kejadian.

Menceritakan kembali detik tersebut, Putra Saidina Ikmal Zuel Hasnan, 27 berkata, ketika itu mereka sekeluarga tiada di rumah susulan ibunya, Nor Evawani Othman, 48, sedang bekerja dengan membawa adik sepupunya, Qalisya Maisarah Saiful Azree, 13.

Putra Saidina Ikmal
Putra Saidina Ikmal

"Saya pula pergi ke Johor dan sebaik sampai di rumah sekitar jam 4 petang saya lihat ruang depan rumah sudah berselerak. Saya sangkakan ada orang masuk rupanya beruk.

"Apabila masuk dalam rumah keadaannya lagi teruk, dapur serta baju bersepah-sepah dan tilam terdapat najis binatang," katanya kepada Sinar Harian ketika kunjungan Kumpulan Perkembangan Wanita (KPW) Kampung Serting Ilir pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Nor Evawani berkata, dia bergegas pulang ke rumah sebelum memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarganya yang lain.

Nor Evawani.
Nor Evawani.

"Ini kejadian kedua berlaku selepas dua tahun lalu, namun ketika itu tidaklah seteruk ini. Siling rumah pun pecah dikerjakan, stok makanan habis, bilik air pun dimasuknya bahkan dapur gas juga patah.

"Kami kemudiannya mengupah orang untuk mengemas rumah dengan mengambil masa dua hari untuk menyelesaikannya dan banyak-barang terpaksa dibuang akibat kejadian ini," katanya yang berharap kejadian sama tidak berulang.

Nor Evawani (kiri) dan Putra ketika menunjukkan tilam di bilik berkenaan terpaksa dibuang kerana rosak akibat beruk.
Nor Evawani (kiri) dan Putra ketika menunjukkan tilam di bilik berkenaan terpaksa dibuang kerana rosak akibat beruk.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Serting Ilir, Mohd Nazri Bador ketika dihubungi berkata, kejadian berkenaan turut berlaku di kediaman penduduk lain di situ.

Katanya, bagaimanapun pihaknya telah memaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

Nor Evawani (dua kanan) ketika menerima sumbangan daripada KPW dan penduduk setempat.
Nor Evawani (dua kanan) ketika menerima sumbangan daripada KPW dan penduduk setempat.

"Perhilitan juga telah memasang perangkap sebelum ini dan kita ada membuat kutipan untuk disumbangkan kepada keluarga puan Nor Evawani bagi meringankan beban," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!