Kondominium mewah jadi lokasi bungkus, edar dadah diserbu

Ravinder menunjukkan antara dadah yang dirampas dalam serbuan yang dijalankan pada Khamis.
Ravinder menunjukkan antara dadah yang dirampas dalam serbuan yang dijalankan pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Taktik seorang lelaki menjadikan kondominium mewah sebagai lokasi pembungkusan serta pengedaran dadah terbongkar menerusi dua serbuan sekitar Cheras dan Segambut pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravinder Singh Sarban Singh berkata, suspek yang merupakan lelaki warga tempatan itu dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun ini.

Beliau berkata, serbuan dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Cheras kira-kira jam 9 malam.

"Suspek berumur 30 tahun ditahan bersama dadah jenis ganja seberat 62.5 kilogram dianggarkan bernilai RM193,936.

"Selain itu, turut dirampas wang tunai berjumlah RM100 dan sebuah kereta jenis Perodua Axia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini pada Rabu.

Antara dadah yang dirampas susulan serbuan menerusi dua serbuan sekitar Cheras dan Segambut pada Khamis.
Antara dadah yang dirampas susulan serbuan menerusi dua serbuan sekitar Cheras dan Segambut pada Khamis.

Menurut beliau, siasatan awal di lokasi pertama membawa kepada serbuan kedua di sebuah lagi kondominium dekat Segambut.

Artikel Berkaitan:

"Operasi dijalankan kemudiannya berjaya merampas 3.12 kilogram ganja dianggarkan bernilai RM9,687.

"Lokasi kedua ini dipercayai dijadikan tempat untuk pembungkusan semula dadah yang dibeli susulan penemuan alat pengedap vakum dan satu alat penimbang," katanya.

Jelas beliau, suspek dipercayai mendapatkan bekalan dadah secara pukal sebelum menjualnya secara kecil-kecilan kepada penagih.

"Siasatan mendapati suspek bergiat aktif dan menjadikan kondominium mewah yang dikawal oleh pengawal keselamatan sebagai tempat pengedaran dadah untuk mengaburi pihak berkuasa.

"Bekalan dadah dipercayai diperoleh daripada pengedar tempatan di Kuala Lumpur sebelum menjualnya untuk pasaran sekitar Lembah Klang," katanya.

Katanya, suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!