Teresa hantar LOD, tuntut Akmal Saleh ganti rugi RM25 juta
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Naib Presiden DAP, Teresa Kok mengemukakan surat tuntutan (LOD) pada Rabu, terhadap Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan menuntut Ketua Pemuda UMNO itu membayar ganti rugi sebanyak RM25 juta.
Ahli Parlimen Seputeh itu mengemukakan LOD menerusi Tetuan SN Nair & Partners, berhubung kenyataan fitnah Muhamad Akmal dalam video di aplikasi TikTok, Sabtu minggu lalu.
Berdasarkan dokumen LOD tersebut, peguam, Datuk Sankara Nair yang mewakili Teresa berkata, ahli politik UMNO tersebut membuat kenyataan yang merujuk anak guamnya secara langsung dan tidak langsung, dengan gelaran yang jelik.
Katanya, pemimpin DAP ini mendakwa, rakaman tersebut telah ditonton lebih 720,500 kali, dengan tanda suka sebanyak 75,000, 9,314 komen, 6,162 kegemaran dan sejumlah 8,784 perkongsian.
Katanya, kenyataan itu diterbitkan semula melalui pelbagai saluran media sosial termasuk portal berita.
“Ulasan berkenaan adalah palsu, melampau, keterlaluan, keji dan mengelirukan termasuk mencemarkan nama baik anak guam secara serius.
“Jika kami tidak menerima sebarang maklum balas dalam tempoh tujuh hari, tindakan undang-undang akan dibuat terhadap pemimpin UMNO tersebut,” katanya.
Sebelum ini, Teresa Kok mempertimbangkan tindakan undang-undang selepas mendakwa Muhamad Akmal mahu menampal logo tidak halal pada dahi ahli Parlimen daripada DAP tersebut.
Teresa mendakwa, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.
Katanya, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.
Sementara itu, Muhammad Akmal menerusi respons ringkas menyatakan kesediaan untuk bertemu di mahkmah.
"Kita jumpa di mahkamah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!