Liyana Jasmay tidak betah duduk diam
SELEBRITI serba boleh, Liyana Jasmay kembali mewarnai industri seni bukan sahaja sebagai pelakon, tetapi juga menerusi karier nyanyian, pengarahan dan beberapa projek lain.
Menurut wanita berusia 36 tahun itu, sebagai anak seni, dia tidak betah untuk duduk diam dan memilih untuk mencuba pelbagai cabang seni.
"Saya rasa terlibat dalam dunia seni ini sebagai satu 'sumpahan', susah nak tinggalkan. Walaupun saya sibuk di belakang tabir, jika ada masa terluang, saya masih menerima tawaran berlakon.
"Selalunya dalam setahun, produksi saya akan keluar satu atau dua karya, jadi saya ada masa senggang untuk berlakon, jayakan kempen atau hasilkan lagu.
"Cuma saya akan fokus satu persatu projek dan tidak suka lari sana-sini. Lagipun sekarang anak-anak sudah sekolah dan mereka memahami tugas saya," katanya.
Liyana berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan dan sidang media filem terbaharu lakonannya, Baik Punya Ah-Long.
Filem yang diarahkan oleh pengarah tidak asing lagi, Datuk Afdlin Shauki merupakan filem pertama yang dilakonkan Liyana selepas 11 tahun 'berehat' dari dunia perfileman.
"Kali terakhir saya berlakon filem, 11 tahun lalu menerusi Papadom 2, juga bersama abang Afdlin. Selepas itu saya berkahwin dan ada anak.
"Mungkin sebab pandangan atau tanggapan tertentu bahawa pelakon wanita berkahwin atau ada anak tidak lagi laku, maka tidak ada tawaran untuk saya.
"Saya harungi situasi sama, agak menyedihkan tetapi tidaklah sampai mematahkan semangat. Kalau ada tawaran pun, tidak ada yang menarik perhatian saya," jelas ibu kepada dua orang cahaya mata itu.
Tambah Liyana, tawaran daripada Afdlin ini sukar ditolak kerana ia ibarat impian yang menjadi kenyataan kerana Baik Punya Ah-Long adalah sebuah naskhah komedi muzikal.
"Saya sangat teruja dan dalam masa sama, gementar dengan penerimaan penonton. Adakah mereka suka, adakah mereka terhibur, faham atau tidak.
"Selain itu, dalam filem ini buat pertama kalinya saya bawakan watak ibu. Tidak sukar kerana ketika penggambaran filem ini, saya sudah pun bergelar ibu, jadi naluri itu datang secara natural," katanya yang kini sibuk dilokasi telefilem bersama Fattah Amin.
Sedih
Sementara itu, diminta berkongsi perasaannya apabila tayangan perdana Baik Punya Ah-Long, menjadi naskhah pertama yang tidak dihadiri arwah ibu dan bapanya, Liyana mengakui, situasi itu menimbulkan rasa sebak.
Katanya, selama ini, arwah ibunya, Habsah Simpon tidak pernah gagal menemaninya ke majlis tayangan filem, waima ke lokasi penggambaran, kini tugas itu diambil alih oleh kakak-kakaknya.
"Betul, ini tayangan filem pertama tanpa arwah mama. Sebenarnya ketika penggambaran filem ini, saya baru sahaja dapat tahu arwah papa ada kanser paru-paru.
"Jadi agak sukar buat saya menjayakan watak komedi muzikal dalam keadaan saya sedih.
"Bagaimanapun saya bersyukur kerana masih ditemani kakak, kawan baik dan peminat yang tidak penuh jemu menyokong karier saya sejak awal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!