Tempoh kerja panjang punca pemandu e-hailing, p-hailing alami tekanan mental

Tempoh kerja yang panjang untuk memperoleh pendapatan yang baik menjadi punca pemandu e-hailing dan p-hailing keletihan, kurang tidur dan mengalami tekanan mental. Gambar hiasan (Gambar kecil: Jose Rizal)
Tempoh kerja yang panjang untuk memperoleh pendapatan yang baik menjadi punca pemandu e-hailing dan p-hailing keletihan, kurang tidur dan mengalami tekanan mental. Gambar hiasan (Gambar kecil: Jose Rizal)
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM) mendedahkan tempoh kerja panjang untuk memperoleh pendapatan yang baik menjadi punca pemandu e-hailing dan p-hailing sering keletihan, kurang tidur dan mengalami tekanan mental kerana sukar mencari masa berkualiti bersama keluarga serta berehat.

Ketua Aktivis GEM, Jose Rizal berkata, sehubungan itu pihaknya memohon kerajaan untuk melaksanakan penyelesaian jangka panjang dalam usaha memastikan isu kebajikan, tugasan dan kesihatan mental pemandu e-hailing serta p-hailing ini diatasi segera.

Menurutnya, ketika ini punca pendapatan tidak tetap yang bergantung kepada jumlah perjalanan dan penghantaran menjadikan pemandu e-hailing serta p-hailing terpaksa bekerja berjam-jam lamanya.

"Kos bahan api, penyelenggaraan kenderaan dan insurans juga menambah beban kewangan yang perlu ditanggung pemandu, sebahagian besar pendapatan mereka terpaksa disalurkan untuk menanggung kos ini.

"Justeru penyelesaian jangka panjang seperti perlindungan sosial yang lebih progresif, pengiktirafan dalam penarafan kerajaan terhadap pemandu dan skim faedah pekerjaan yang lebih fleksibel, progresif serta tidak statik antara langkah yang dapat membantu komuniti ini mencapai keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi lebih baik dan harmoni," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada Ogos lalu, GEM dilaporkan merayu kepada kerajaan agar memperhalusi kadar upah perkhidmatan e-hailing kerana ia didakwa tidak seiring dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

GEM turut menegaskan tidak adil dan tidak bertanggungjawab sekiranya pihak berwajib hanya lepas tangan dan mengambil jalan mudah dengan 'memangsakan' pemandu perkhidmatan e-hailing ini.

Mengulas lanjut Jose berkata, tekanan daripada platform seperti sering mengubah syarat pembayaran atau komisen, selain berdepan pelanggan juga menjadi punca kepada ketidakpuasan dan tekanan tambahan pemandu e-hailing dan p-hailing ini.

Artikel Berkaitan:

"Ini menyebabkan keletihan fizikal dan tekanan mental terhadap pemandu yang mungkin berisiko terbabit kemalangan jalan raya, selain tiada sokongan kesihatan memadai untuk menjaga kesejahteraan mereka.

"Mereka juga sukar mengambil cuti atau masa rehat, sebaliknya terus bekerja tanpa henti untuk memenuhi keperluan harian dan ini menjejaskan keseimbangan kehidupan kerja," ujarnya.

Tegasnya, kerajaan perlu prihatin dengan kumpulan pekerja gig yang tiada jaminan pekerjaan tetap kerana masih belum diperuntukkan taraf dalam undang-undang negara ini.

"Perlindungan keselamatan sosial terhadap pemandu e-hailing dan p-hailing juga masih banyak ruang untuk diperbaiki dan ditambah baik seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) atau insurans perubatan," tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!