Harga RON97, diesel turun 15 sen
PUTRAJAYA - Harga RON97 dan diesel Semenanjung Malaysia terus menyaksikan penurunan setiap minggu.
Terbaharu, kedua-dua bahan bakar itu masing-masing turun sebanyak 15 sen berkuat kuasa esok sehingga 18 September depan.
Ia menjadikan harga baharu untuk setiap liter RON97 adalah RM3.25 manakala RM3.01 bagi diesel.
Penurunan harga runcit petroleum sebanyak 15 sen itu adalah tertinggi direkodkan sejak Ogos lalu.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan kerajaan telah menurunkan sebanyak 34 sen seliter bagi harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia dan turun 22 sen bagi harga petrol RON97.
"Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit produk petroleum dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak global dan juga menyokong kestabilan harga bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara," kata kementerian itu pada Rabu.
Ujar MoF, harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter dan harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!