JKM cari ibu bapa kandung enam kanak-kanak

Dari kiri; Tennarasu, Mugileswaran, Suriyaprakash, Jeya Sri, Hemalini dan Angel.
Dari kiri; Tennarasu, Mugileswaran, Suriyaprakash, Jeya Sri, Hemalini dan Angel.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Selangor sedang mencari dua pasangan suami isteri kepada enam kanak-kanak bagi urusan penjagaan dan penempatan.

Pelindung Kanak-Kanak JKM Kuala Selangor, Siti Hawa Selamat berkata, K Nanthini, 30, dan suaminya, N Nadarajah, 38, dicari selepas meninggalkan tiga anak mereka iaitu N Suriyaprakash, 6, N Mugileswaran, 9, dan N Tennarasu, 10.

"Ketiga-tiga kanak-kanak ini ditinggalkan kepada nenek mereka di Kampung Bukit Cherakah, Jeram, di sini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Siti Hawa berkata, wanita sama juga kini terpaksa menjaga tiga lagi cucu, selepas adik kepada Nanthini, K Shalini, 26, dan suaminya, K Kogilabalan, 38, menghilangkan diri sejak Ogos lalu.

Ujarnya, tiga anak perempuan pasangan itu iaitu K Angel yang berusia setahun, K Hemalini, 3, dan K Jeya Sri, 6, dijaga nenek selepas ditinggalkan di rumah sama.

Jelas Siti Hawa, semua kanak-kanak itu kini ditempatkan dalam jagaan orang layak mengikut Seksyen 19(2) Akta Kanak-Kanak 2001 mulai 16 Ogos lalu sehingga 23 September ini.

"JKM memerlukan maklumat mengenai ibu kandung bagi membolehkan siasatan dan penempatan kanak-kanak dilakukan sewajarnya," ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi JKM Kuala Selangor di talian 03-32891495 bagi tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!