Lelaki maut selepas sehari keluar penjara
MARANG - Seorang lelaki menemui ajal selepas sehari dibebaskan dari penjara dalam kejadian di tepi jalan berdekatan Kampung Pantai Seberang Marang di sini pada petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd Razman Setapa berkata, mangsa berusia 32 tahun itu disedari bertindak mencederakan diri sendiri sebelum meninggal dunia dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang.
Menurutnya, kejadian itu disedari ibu dan adik lelakinya yang menemukan mangsa dalam keadaan berdarah pada bahagian leher.
"Pihak polis menerima panggilan kecemasan jam 6.06 petang. Siasatan awal mendapati mangsa yang baru dibebaskan dari penjara pada Isnin lalu bertindak mencederakan diri menggunakan serpihan kaca tingkap nako yang dipecahkannya.
"Turut menyedari kejadian itu ialah seorang lelaki iaitu jiran mangsa yang kebetulan sedang menunggang motosikal dan melihat mangsa terbaring di atas jalan dalam keadaan berlumuran darah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.
Menurut Mohd Razman, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.
Katanya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!