'Kami akan terus cuba minta maaf kepada keluarga Nur Syuhada'

Ibu Syarafi (dua dari kanan) yang hadir pada Persidangan Mahkamah Persekutuan di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.
Ibu Syarafi (dua dari kanan) yang hadir pada Persidangan Mahkamah Persekutuan di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Ibu bapa kepada bekas tukang masak, Syarafi Abu, 34, yang terlepas hukuman gantung atas kesalahan membunuh Nur Syuhada Johari, 20, sembilan tahun lalu akan terus berusaha memohon maaf kepada keluarga Allahyarham.

Bapanya, Abu Husin, 64, berkata, dia pernah cuba untuk menemui keluarga Allahyarham selepas kejadian tersebut berlaku pada 2015.

Bagaimanapun, katanya, ada rakan menasihatinya supaya tidak menemui ibu bapa Nur Syuhada ketika itu.

"Niat saya cuma mahu minta maaf, perkara sudah berlaku dan kita tak dapat buat apa-apa, cuma dapat minta maaf saja.

"Insya-ALLAH masa depan nanti saya akan cuba minta maaf lagi, biar mereka 'sejuk' dahulu,"katanya yang hadir bersama isteri Robiah Alwi, 62, pada persidangan Mahkamah Persekutuan di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.

Abu berkata, dia tidak dapat menemui mereka lagi selepas keluarga berkenaan berpindah ke Alor Setar.

Insiden menimpa Nur Syuhada yang maut selepas dikelar dalam sebuah kereta di Kilometer 228.2 Lebuh raya Utara-Selatan arah selatan di Bukit Gantang, Perak pada Februari 2015 pernah mengemparkan seluruh negara.

Nur Syuhada yang juga pelajar tahun pertama Diploma Pengurusan Pelancongan dan Hotel meninggal dunia selepas dua jam ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Kangsar.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu memutuskan menggantikan hukuman gantung sampai mati kepada penjara 38 tahun dan 14 sebatan setelah membenarkan permohonan Syarafi.

Keputusan dibuat oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan.

Keputusan tersebut dibuat mengikut Seksyen 2(4) dan 3(1) Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!