Pemilik suara watak Naruto, Sailor Moon meninggal dunia
TOKYO - Pemilik suara watak Makoto Kino dalam anime Sailor Moon dan Naruto, Emi Shinohara dilaporkan meninggal dunia pada usia 61 tahun pada Ahad lalu.
Laman web rasmi agensinya, 81 Produce mengumumkan bahawa Shinohara atau nama sebenarnya, Emiko Watanabe menghembuskan nafas terakhir semasa menjalani rawatan perubatan.
“Dukacita dimaklumkan bahawa pelakon kami, Emi Shinohara meninggal dunia dengan tenang pada usia 61 tahun pada 8 September selepas bertarung dengan penyakit walaupun menerima rawatan perubatan.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih atas kebaikan yang ditunjukkan kepada mendiang semasa hayatnya dan dengan rendah hati mengumumkan kematiannya,” kata kenyataan itu.
Suara Shinohara digunakan dlaam pelbagai watak ikonik seperti Kushina Uzumaki (Naruto Shippuden), Kaho Mizuki (Cardcaptor Sakura) dan Presea (Magic Khight).
Berita mengenai kematian Shinohara muncul selepas rakan sekerjanya, Noriko Ohara selaku pemilik suara Nobita dalam animasi kanak-kanak Doraemon dilaporkan meninggal dunia pada Julai lalu. - Agensi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!