GISB jawab tuduhan eksploitasi kanak-kanak

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) menafikan dakwaan terlibat dengan sindiket pemerdagangan dan eksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja sepertimana tular di media sosial baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pentadbiran GISB, Mokhtar Tajuddin berkata, pihaknya turut menegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang khususnya melibatkan kanak-kanak.

“Isu tersebut merupakan satu prasangka, fitnah dan berniat jahat untuk mewujudkan persepsi negatif terhadap GISB.

“Pendirian kami amat jelas untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan menyokong aspirasi kerajaan dalam membangunkan negara.

“GISB sedia memberikan kerjasama dengan pihak berwajib bagi menyelesaikan isu ini. Akhir sekali, kami berdoa kepada ALLAH SWT agar segala fitnah, tohmahan, buruk sangka dan kebencian ini dapat dinoktahkan,“ katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, GISB didakwa terlibat dengan kegiatan penyelewengan akidah susulan terpalit isu ajaran sesat al-Arqam yang pernah difatwakan sesat pada 1994 lampau sehingga sanggup mengeksploitasi agama dan kanak-kanak untuk meminta derma serta menjalankan aktiviti perniagaan.

Syarikat yang beroperasi di 20 buah negara itu mengesahkan sudah membuat permohonan untuk bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar pada 1 September lalu.

Mohd Na'im memaklumkan, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan akidah umat Islam kerana ia perkara asas yang sepatutnya dipelihara sepanjang masa.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya lagi, masyarakat yang mempunyai apa-apa maklumat berkaitan kegiatan diragui dan boleh memesongkan akidah umat Islam perlu segera membuat laporan kepada pihak polis.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!