MAHA 2024: Hari pertama saksi 13 MoU bernilai RM21.26 juta
SERDANG - Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang bermula pada Rabu, menyaksikan pemeteraian 13 perjanjian melibatkan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM21.26 juta.
Kerjasama strategik di bawah inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu bertujuan memperkukuhkan kapasiti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan meneroka pasaran eksport produk berasaskan agromakanan ke luar negara.
Majlis pemeteraian MoU itu disaksikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup dalam satu majlis di MAHA 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) petang ini.
Arthur pada sidang media berkata, pemeteraian MoU pada hari ini, kebanyakannya melibatkan pemain-pemain industri pengeluaran nanas.
"Kita tahu pasaran nanas ini sangat berpotensi boleh membawa pendapatan yang amat lumayan, maka negara kita melipat gandakan usaha untuk meningkatkan lagi pengeluaran nanas berkualiti tinggi bagi memenuhi pasaran antarabangsa,” katanya.
Arthur berkata, Malaysia mempunyai potensi yang besar menjadi pengeluar nanas berkualiti berdasarkan beberapa faktor penarik dan kementeriannya menetapkan sasaran 1,000 kontena nanas dieksport pada tahun ini.
"Ini baru hari pertama (penganjuran MAHA 2024) dan kita telah memeterai 13 MoU dan mudah-mudahan saya yakin dalam tempoh 12 hari penganjuran MAHA ini, kita akan dapat menandatangani dan menarik lebih ramai pelabur dan pembeli atas barangan hasil pertanian dan agromakanan negara kita,” katanya.
Arthur memaklumkan lebih banyak lagi majlis MoU akan diadakan selepas ini bergantung kepada sektor dan sub-sektor pertanian lain, yang bakal disaksikan oleh beliau ataupun Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, sepanjang penganjuran MAHA kali ini.
Sementara itu, Arthur berkata, beliau berpuas hati dengan kehadiran pengunjung yang menggalakkan pada hari pertama dan optimis sasaran tiga juta pengunjung dapat dicapai pada penganjuran kali ini, bersempena 100 tahun MAHA sejak bermula pada 1923.
MAHA 2024 yang bermula hari ini selama 12 hari sehingga 22 September ini antara lain turut menekankan elemen yang mengangkat MAHA ke peringkat antarabangsa dengan penglibatan daripada pelbagai negara menerusi segmen MAHA Go Global. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!