Menyamar pekerja kontrak sebelum curi kabel TM
IPOH - Polis menahan lapan lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di Jalan Keliling, Taman Canning di sini pada Selasa.
Dalam kejadian sekitar jam 2.30 pagi, suspek menyamar sebagai pekerja kontrak dengan memakai jaket berwarna hijau mencuri kabel bagi mendapatkan tembaga untuk dijual.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, suspek berusia 18 hingga 36 tahun itu dilihat berani melakukan jenayah itu secara terang-terangan di hadapan rumah penduduk.
"Pengadu ternampak sebuah kenderaan pacuan empat roda membuka lurang dan menarik kabel sebelum menghubungi pihak polis.
"Menyedari kehadiran pengadu, mereka terus melarikan diri dengan menaiki dua kereta lain.
"Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh telah membuat tangkapan lapan suspek sekitar Kampung Baru awal pagi tadi untuk siasatan lanjut," katanya di sini pada Rabu.
Menurut beliau, polis merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel berkenaan bersama kabel sepanjang 300 meter dalam kenderaan pacuan empat roda yang terlibat.
"Hasil semakan mendapati tujuh daripadanya memiliki rekod lampau dalam jenayah dan dadah. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.
Azizi berkata, Polis Perak telah membuka sebanyak 247 kertas siasatan membabitkan kejadian kecurian kabel syarikat telekomunikasi dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sepanjang tempoh Januari hingga Ogos lalu.
"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 76 kes telah dituduh manakala 76 kes lagi masih dalam siasatan.
"Trend kecurian ini dilaporkan semakin meningkat hingga menyebabkan kerosakan infrastruktur yang ada di tepi-tepi jalan.
"Perbuatan ini disyaki dilakukan oleh mereka yang profesional. Jadi dengan itu, saya mengingatkan pihak pemilik telco supaya turut sama mengawal dan menyelia talian talian kabel yang ada di bawah penyeliaan mereka," katanya.
Ujar beliau, pihaknya akan mengambil tindakan tegas ke atas pembeli kabel-kabel dicuri tersebut termasuk membatalkan lesen perniagaan barangan lusuh sekiranya terlibat.
"Jika pengusaha tidak dapat mengesahkan barangan tersebut, tidak mencatatkan dalam rekod mereka dan tidak selari dengan stok yang mereka ada, kita akan membatalkan lesen mereka serta-merta.
"Itu amaran saya kepada pengusaha di luar sana yang bersekongkol dengan kumpulan ini.
"Saya akan mengarahkan semua ketua polis balai dan ketua polis daerah untuk membuat pemeriksaan teliti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!