Kejohanan Bola Sepak Asia 7s: Malaysia sasar dua terbaik
MALAYSIA menyasarkan untuk menjadi dua pasukan terbaik pada Kejohanan Bola Sepak Asia Tujuh Sebelah (7s) yang akan berlangsung pada 10 hingga 13 Oktober ini EV Arena, Elmina, Shah Alam, Selangor.
Pengurus skuad negara, Adam Azman berkata, sasaran tersebut mahu dicapai pasukan walaupun berdepan halangan awal menentang pasukan kuat seperti India dan Filipina dalam Kumpulan B pada edisi kali ini.
“Kita menyedari selepas undian dalam Kumpulan B ini memang agak sukar kerana ada India dan Filipina yang kita tahu mereka pasukan yang kuat.
“Namun, kita akan berikan yang terbaik untuk memastikan penyertaan kali pertama ini dapat memastikan cabaran kepada semua pasukan,” katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.
Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Filipina, India dan Hong Kong manakala dalam Kumpulan A dihuni Jepun, Brunei, Singapura dan Vietnam.
Untuk edisi tahun lalu, kejohanan tersebut dimenangi Jepun dalam aksi yang berlangsung di Manila, Filipina.
Dalam pada itu, beliau juga mengesahkan akan cuba mendapatkan khidmat beberapa bekas pemain kebangsaan seperti Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha untuk memperkuatkan pasukan.
“Pasukan yang dibentuk ini mesti ada gabungan pemain berpengalaman dan pemain muda. Saya juga ada bercakap dengan Norshahrul dan Safee.
“Jika mereka dapat bermain dengan kita, maka ia akan menjadi sesuatu yang bagus untuk pasukan,“ katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!