Lebih sejuta penduduk bukan warganegara di Sabah, Warisan tuntut penjelasan

Foto hiasan (Gambar kecil: Terrence)
Foto hiasan (Gambar kecil: Terrence)
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Warisan (Warisan) menuntut penjelasan kerajaan Sabah berhubung data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia berhubung terdapat lebih satu juta penduduk bukan warganegara berada di negeri ini sejak 2023.

Ketua Wira Warisan, Terrence Au berkata, mengikut data menerusi Statistik Utama Penduduk Malaysia dan Negeri 2020 hingga 2024, terdapat seramai 27.88 peratus atau 1,043,400 penduduk Sabah adalah bukan warganegara.

"Anggaran statistik sehingga pertengahan 2024 ini mencetus kebimbangan di kalangan rakyat Sabah kerana jumlah tersebut merupakan yang paling besar dalam sejarah.

"Ia menyaksikan peningkatan sebanyak 233,000 berbanding pada tahun 2020 iaitu seramai 810,4008 orang dan kebanjiran penduduk bukan warganegara ini bermula pada tahun 2023 iaitu seramai 921,000 orang dengan penambahan seramai 156,800 orang banding dengan 764,200 pada tahun 2022," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya lagi, mungkin secara kebetulan, kerajaan Sabah telah menjalinkan usahasama perniagaan dengan Tawi-Tawi, Filipina di mana Gabenornya telah datang melawat Sabah pada Januari tahun lalu.

"Kita nampak ada tindakan dari pihak kerajaan untuk mengurangkan masalah kebanjiran warga asing di Sabah dengan penangkapan dan pengusiran, tetapi 1,043,400 itu memberi gambaran di sebaliknya.

"Kita tidak mahu nanti Hajiji dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) pula dilabel sebagai penternak pendatang asing tanpa izin (PATI) oleh rakyat Sabah.

"GRS ketika mereka masih bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) cukup lantang memainkan isu PATI sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun 2020 termasuk juga isu Pas Sementara Sabah (PSS).

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, selepas menjadi kerajaan, GRS umum Kad Warga Asing yang dijenamakan semula dari PSS," katanya.

Ujarnya lagi, kini Kad Warga Asing itu ditukarkan pulak kepada Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah (SWIMS) di mana hampir 40,000 pekerja asing telah didaftarkan setakat April lalu.

"Oleh itu, kerajaan terutama Ketua Menteri tidak boleh berdiam tentang kebanjiran lebih satu juta penduduk Sabah bukan warganegara yang bermula dari tahun 2023," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!