109 majikan disyaki menggaji, lindungi PATI ditahan

Operasi JIM Kuala Lumpur itu antaranya melibatkan Ops Pemantauan, Ops Sapu, Ops Belanja, Ops Jaja, Ops Selera, Ops Gegar, Ops Dandan, Ops Minyak, Ops Serkap, Ops Bersepadu, Ops Kutip dan Ops Mahir.
Operasi JIM Kuala Lumpur itu antaranya melibatkan Ops Pemantauan, Ops Sapu, Ops Belanja, Ops Jaja, Ops Selera, Ops Gegar, Ops Dandan, Ops Minyak, Ops Serkap, Ops Bersepadu, Ops Kutip dan Ops Mahir.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 109 majikan yang disyaki menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi pelbagai siri operasi bagi tempoh lapan bulan sejak Januari.

Operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur itu antaranya melibatkan Ops Pemantauan, Ops Sapu, Ops Belanja, Ops Jaja, Ops Selera, Ops Gegar, Ops Dandan, Ops Minyak, Ops Serkap, Ops Bersepadu, Ops Kutip dan Ops Mahir.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata, tindakan ini diambil hasil aduan awam dan risikan.

Wan Mohamed Saupee
Wan Mohamed Saupee

Katanya, bagi tempoh ini sebanyak 1,074 operasi telah dilaksanakan ke atas pelbagai premis dan lokasi di ibu negara.

"Seramai 6,033 individu telah diperiksa dan menghasilkan tangkapan 2,066 orang.

"Daripada jumlah tangkapan tersebut, seramai 109 orang adalah majikan dan individu yang menggajikan atau melindungi PATI," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, tindakan ke atas majikan diambil mengikut Seksyen 55B, Seksyen 56 (1)(D) dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, 1,957 PATI yang ditahan paling ramai ialah Bangladesh iaitu 466 orang, Indonesia (370 orang), 326 Myanmar (326 orang), Pakistan (178 orang), India (163 orang), China (159 orang) dan selebihnya adalah lain-lain warganegara.

"Seramai 835 warga asing telah didakwa atas pelbagai kesalahan seperti tinggal lebih masa, tiada pas sah serta langgar syarat pas atau permit," ujarnya.

Antara warga asing yang ditahan susulan beberapa siri operasi yang dijalankan sebelum ini.
Antara warga asing yang ditahan susulan beberapa siri operasi yang dijalankan sebelum ini.

Kata beliau, JIM Kuala Lumpur juga telah mengeluarkan kompaun atas pelbagai kesalahan imigresen dan menghasilkan kutipan berjumlah RM6.36 juta.

Tegasnya, pemilik-pemilik premis dan majikan diingatkan bahawa melindungi PATI atau membenarkan PATI memasuki dan berada di dalam premis mereka adalah satu pelanggaran undang-undang negara yang boleh menggugat keselamatan negara dan ketenteraman awam.

"Kita amat peka dengan kebimbangan orang awam mengenai kebanjiran PATI di Kuala Lumpur.

"Oleh itu, tindakan pengusiran ke atas PATI yang didapati melanggari undang-undang telah diambil dan setakat Ogos, JIM Kuala Lumpur telah memindahkan 1,761 orang PATI ke negara asal melibatkan 30 negara dan disenaraihitamkan daripada memasuki Malaysia," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!