Azalina terkesan tonton Takluk: Lahad Datu

Azalina sempat menonton Takluk: Lahad Datu dalam satu tayangan khas bersama wakil komuniti dan organisasi masyarakat sivil di Kluang, Johor pada Selasa.
Azalina sempat menonton Takluk: Lahad Datu dalam satu tayangan khas bersama wakil komuniti dan organisasi masyarakat sivil di Kluang, Johor pada Selasa.
A
A
A

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengakui filem Takluk: Lahad Datu cukup memberikan kesan buat dirinya sebagai individu yang bertanggungjawab mengendalikan kes tuntutan Sulu sehingga negara berjaya memperoleh kemenangan mutlak baru-baru ini.

Azalina berkata, menerusi filem tersebut, rakyat dapat menyaksikan bagaimana cubaan demi cubaan dilakukan kumpulan Sulu untuk menggugat kedaulatan negara sehingga sanggup menggunakan kekerasan dan melibatkan Timbang Tara Antarabangsa bagi membuat tuntutan palsu serta tidak berasas.

"Semalam saya sempat menonton Takluk: Lahad Datu dalam satu tayangan khas bersama wakil komuniti dan organisasi masyarakat sivil di Kluang, Johor.

"Filem ini cukup mengesankan bagi diri saya sendiri sebagai ahli Parlimen Pengerang sejak 2004 dan kini selaku menteri yang bertanggungjawab dalam pengendalian kes Sulu. Kedaulatan dan keamanan negara ini amat berharga serta tidak datang dengan mudah.

"Maka, saya menyeru rakyat Malaysia untuk mempertahankan kedaulatan tanah air kerana ia tanggungjawab bersama! Ayuh semarakkan rasa cinta dan patriotik terutamanya sepanjang bulan kebangsaan ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Hantaran dimuat naik Azalina di Facebook pada Rabu.
Hantaran dimuat naik Azalina di Facebook pada Rabu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kerajaan memperoleh kemenangan akhir yang penting di Mahkamah Agung Belanda pada 6 September lalu apabila keputusan berpihak kepada Malaysia dan rayuan difailkan kumpulan Sulu ditolak.

Azalina turut memaklumkan, keputusan mahkamah adalah muktamad dan sahih sekali gus menamatkan percubaan kumpulan Sulu untuk menguatkuasakan tuntutan mereka yang tidak sah terhadap Malaysia di Belanda.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya lagi, Mahkamah Agung Belanda menyokong keputusan Mahkamah Rayuan Hague untuk menolak permohonan kumpulan Sulu pada 27 Jun 2023 lalu.

Mahkamah Rayuan Hague mengangkat usaha Malaysia mencabar permohonan pihak yang menuntut itu di Belanda bagi mengiktiraf dan menguatkuasakan 'Final Award' diberikan Dr Gonzalo Stampa di Paris pada 28 Februari 2022.

Menerusi 'Final Award' tersebut, Stampa selaku penimbang tara Sepanyol mengarahkan Malaysia untuk membayar AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) kepada pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.

Lapan warga Filipina yang mendakwa waris Kesultanan Sulu juga dilaporkan cuba menyita aset syarikat minyak negara Petronas di Luxembourg dan Belanda, selain menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis.

Bagaimanapun pada Januari lalu, Stampa didapati bersalah kerana menghina mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara enam bulan serta dilarang menjalankan tugasnya sebagai penimbang tara selama setahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!