Fasa dua catuan air di Melaka jika sumber air masih kurang
MELAKA - Kerajaan Melaka akan melaksanakan fasa kedua catuan air dijangka sekitar minggu hadapan sekiranya sumber air di negeri itu masih kurang, kata Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.
Beliau berkata, setakat ini tempoh catuan bekalan air dilaksana untuk tempoh dua minggu pertama bermula 29 Januari lepas dengan minggu hadapan masuk minggu ketiga dan model fasa kedua catuan itu akan dimaklumkan kemudian.
Katanya, jumlah bekalan air di tiga empangan negeri ini kekal tidak berubah pada 33 peratus dan tempoh serta model catuan itu akan banyak bergantung kepada keadaan cuaca, taburan hujan dan inisiatif penambahan bekalan air dilaksanakan.
"Kalau tiada hujan dan sumber air berkurangan kita sambung penjadualan (catuan air) dengan model baharu kita.
"Kita ambil kira (model catuan) tanpa sebarang faktor hujan dalam tempoh hingga hujung Mac," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Terdahulu beliau menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Melaka di Dewan Sekolah Menengah Pay Fong di sini yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob serta kira-kira 8,000 orang.
Melaka pada 29 Januari lepas melaksanakan catuan bekalan air harian melibatkan 550,673 orang iaitu 62.8 peratus penduduk bagi memastikan bekalan air mencukupi bagi menghadapi cuaca panas kering dalam fasa kedua Monsun Timur Laut dijangka berakhir bulan hadapan.
Bagaimanapun, catuan itu tidak melibatkan hospital, kawasan industri dan pusat pelancongan.
ARTIKEL BERKAITAN: Penyaluran maklumat penting pastikan catuan air Melaka berkesanMelaka pada masa ini mempunyai tiga empangan iaitu Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah, dan Empangan Jus serta Empangan Asahan di Jasin.
Ditanya mengenai perbuatan pihak tertentu menyebarkan jadual catuan air palsu yang tular dalam media sosial baru-baru ini, Adly berkata, perbuatan itu adalah tidak bertanggungjawab dan menimbulkan keresahan serta menyusahkan rakyat di negeri ini.
"Ini juga perbuatan sabotaj usaha kerajaan negeri (beri bekalan air), paling penting kita sampaikan berita benar tanpa sembunyi keadaan semasa dan kita harap rakyat bekerjasama dengan kerajaan," katanya.
Baru-baru ini tular dalam media sosial sebuah jadual catuan air Melaka untuk tempoh sehingga akhir bulan ini dan Syarikat Air Melaka Berhad dalam laman Facebook rasminya semalam memberitahu jadual itu adalah palsu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!