Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan mampu tangani budaya silo

Lailah
Lailah
A
A
A

SHAH ALAM - Langkah menubuhkan Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan dan melaksanakan reformasi secara besar-besaran mampu mengurangkan budaya silo serta ‘red tape’ dalam perkhidmatan awam.

Bekas Pengarah Sumber Manusia Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lailah Che Mohd Darus berkata, beliau yang pernah bekerja dalam perkhidmatan awam selama 34 tahun merasakan ia satu perubahan besar yang wajar disambut baik demi kepentingan negara.

Menurutnya, perkhidmatan awam juga perlu bergerak selari dengan kemajuan semasa, mengikuti perkembangan teknologi selain diingatkan untuk tidak selamanya kekal di takuk lama.

“Sebenarnya pertindihan fungsi bukan isu utama rakyat, apa yang penting sejauh mana ia memberikan impak positif kepada mereka dalam menikmati sistem penyampaian menepati keperluan sasaran sebenar rakyat dan lain-lain pemegang taruh.

“Tidak dinafikan masih terdapat budaya silo, ‘red tape’, kerenah birokrasi, ‘little napoleon’ dan peraturan lapuk dalam perkhidmatan yang pastinya menjejaskan reputasi penjawat awam serta penyampaiannya kepada rakyat.

“Saya yakin mereka yang masih berkhidmat tetap setia kepada kerajaan semasa dan bergerak selari dengan dasar serta lima bidang keberhasilan ditetapkan ketua setiausaha negara selaku teraju utama perkhidmatan awam,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika Wacana Sinar edisi 455 bertajuk ‘Gabung Agensi dan Cabaran Reformasi’ yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian, bertempat di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Lailah (kanan) ketika Wacana Sinar edisi 455 bertajuk ‘Gabung Agensi dan Cabaran Reformasi’ yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian, bertempat di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR
Lailah (kanan) ketika Wacana Sinar edisi 455 bertajuk ‘Gabung Agensi dan Cabaran Reformasi’ yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian, bertempat di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR

Program yang dihoskan Dr Noor Nirwandy Mat Noordin itu menampilkan Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Perkhidmatan Awam dan Pembangunan Universiti Malaya, Dr Muhammad Asri Mohd Ali dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh sebagai panelis.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, penubuhan Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan akan dilaksanakan segera berikutan terlalu banyak pertindihan dalam badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sehingga berlaku keterlanjuran kewangan serta perbelanjaan tidak terkawal.

Jelasnya, Kementerian Kewangan (MoF) mewakili kerajaan keseluruhannya bakal membentuk jawatankuasa dua hala dan jawatankuasa mengemas kini rasionalisasi badan berkanun.

Bagaimanapun, Lailah memaklumkan, pelaksanaan penggabungan entiti sedia ada bukan satu usaha mudah kerana setiap badan berkanun mempunyai Akta Tubuh masing-masing dan sebarang perubahan berkaitan bakal mengambil masa lama.

“Saya juga yakin bahawa kerajaan takkan melaksanakannya tanpa kajian kukuh di bawah jawatankuasa ditetapkan.

“Semua pihak perlu bersedia untuk berubah dan saya pasti perkara ini dapat dilaksanakan dengan tuntas,“ ujarnya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!