Smart MKM mudahkan urusan jemaah tunai umrah
SHAH ALAM - Bagi memudahkan urusan menunaikan umrah, MKM Ticketing, Travel & Tours Sdn Bhd (MKM) memperkenalkan sistem Smart MKM yang menjadikan segala urusan jemaah berada di hujung jari.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MKM Travel, Dr Humaidi Mat Jahya berkata, sistem baharu itu akan membantu menjadikan urusan mengerjakan umrah lebih pantas dan efisien.
Menurutnya, sistem tersebut direka khusus untuk memudahkan akses kepada maklumat dan perkhidmatan MKM di hujung jari jemaah umrah.
"Ia mesra 'mobile' dan boleh diakses dengan mudah melalui portal dan aplikasi telefon pintar masing-masing.
"Jadi semua maklumat mengenai perkhidmatan kami boleh diakses di hujung jari dan bakal jemaah juga boleh buat tempahan serta memilih jadual penerbangan sendiri sekali gus memudahkan lagi keseluruhan operasi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Katanya, dengan penyediaan kemudahan Smart MKM berkenaan, pihaknya berharap dapat mempertingkatkan lagi kepuasan jemaah umrah serta pelanggan perkhidmatan mereka yang lain.
Humaidi berkata, sebagai usaha berterusan memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah umrah, pihaknya telah mengadakan program 'townhall' di Hotel Mudzaffar, Melaka dengan kehadiran kira-kira 142 ejen dan mutawif yang datang dari seluruh Malaysia baru-baru ini.
"Objektif utama 'townhall' ini adalah dianjurkan untuk menunjukkan komitmen kami dalam menyambut dan menguruskan kedatangan jemaah umrah dan pelancong pada tahun ini.
"Kami ingin membuktikan bahawa MKM sentiasa bersedia memberikan yang terbaik kepada para pelanggan kami.
"Pada program ini juga apa yang istimewa menerima kehadiran staf dari MKM Indonesia. Secara keseluruhan, MKM kini mempunyai 289 staf termasuk MKM Indonesia," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Strategik MKM, Dr Abdul Hadi Abdul Raman berkata, program perjumpaan dengan ejen dan mutawif terbabit juga menjadi satu bukti bahawa semua keluarga MKM komited untuk bersama-sama memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah.
"Kami bukan sahaja dapat berinteraksi secara langsung dengan ejen dan mutawif, tetapi juga dapat mendengar pandangan dan cadangan mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!