Selamatkah perairan negara kita?

Foto kapal perang China menceroboh perairan EEZ Malaysia yang tular di media sosial.
Foto kapal perang China menceroboh perairan EEZ Malaysia yang tular di media sosial.
A
A
A

LAUT China Selatan yang terletak di antara negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Filipina, Vietnam, Brunei dan Indonesia serta China kembali panas dengan lagak ‘abang besar’ yang semakin bermaharajalela.

Beberapa tindakan agresif China termasuk melanggar kapal pengawal pantai Filipina baru-baru ini membuatkan banyak pihak marah dan bimbang dengan tahap keselamatan di perairan negara masing-masing.

China bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan dan kedua-dua pihak saling tuduh-menuduh, mendakwa pihak lain melakukan kendalian berbahaya di kawasan yang dipertikaikan.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam pelanggaran di Terumbu Sabina, juga dikenali sebagai Terumbu Escoda di Filipina yang merupakan insiden kelima antara aset pasukan laut dan udara kedua-dua negara di Laut China Selatan sepanjang Ogos lalu.

Tidak cukup dengan itu, kapal peninjau tentera China dan Pengawal Pantai China (CCG) dilaporkan berlegar di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia, berdekatan pelantar minyak di Sarawak pada Sabtu lepas.

Pengarah SeaLight.live, Raymond Powell dalam hantaran di media sosial mendakwa, kapal frigat ringan 053H3 Jiangwei Kelas Dua itu kali terakhir dikesan berada di Terumbu Ubi selepas Automatic Information System (AIS) dimatikan menyebabkan kedudukan kapal itu tidak lagi dapat dipastikan.

Powell yang berkongsi analisis kedudukan kapal yang berada di kawasan berkenaan turut mendakwa aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD Sundang dan KD Selangor telah digerakkan untuk menyertai aset Maritim Malaysia, KM Arau di Terumbu Ubi.

Sebenarnya, tindakan negara Tanah Besar itu bukanlah sesuatu yang asing jika melihatkan kepada kedudukannya yang menghubungkan Lautan Pasifik dan Lautan Hindi, menjadikannya salah satu laluan perdagangan laut terpenting di dunia.

Artikel Berkaitan:

Apa yang lebih menarik sebenarnya adalah Laut China Selatan dipercayai mengandungi simpanan minyak dan gas asli yang besar.

Kajian oleh Energy Information Administration (EIA) menganggarkan kawasan itu mungkin mempunyai lebih 11 bilion tong minyak dan 190 trilion kaki padu gas asli.

Selain itu, ada yang melihat tindakan China tersebut kerana ia kawasan strategik untuk keselamatan dan pengaruhnya di rantau Asia Pasifik.

Namun, semasa lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia baru-baru ini, beliau menegaskan bahawa Malaysia akan meneruskan penerokaan minyak di dalam kawasan perairan negara.

Bercakap dalam sidang akhbar, Anwar berkata, walaupun terdapat permintaan China untuk menghentikan serta-merta aktiviti di perairan Sarawak, Malaysia berhak berbuat untuk meneruskannya.

Beliau pasti bahawa penerokaan minyak yang dilakukan oleh Malaysia berada di dalam perairan negara, tetapi akan menjelaskan kedudukannya kepada China.

Pakar Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Profesor Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam ketika ditanya reaksi terhadap kenyataan terbaharu Perdana Menteri itu menjelaskan, ia memperlihatkan bahawa Malaysia berhak melakukan penerokaan di wilayah sendiri.

Malah, katanya, ia juga satu isyarat kepada Beijing bahawa Malaysia mempunyai kedaulatan dan hak yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Undang-Undang Laut (UNCLOS).

Beliau menyifatkan tindakan Anwar itu tepat kerana Malaysia memberikan isyarat kepada Beijing bahawa Laut China Selatan bukan milik mereka keseluruhannya dan cari gali itu dilakukan di kawasan negara dan terbukti kedaulatan Malaysia.

Bagaimanapun, kenyataan Anwar itu nampaknya masih belum mampu meredakan kebimbangan sebilangan rakyat dan perbincangan dan pandangan mengenainya banyak dibuat di media sosial.

Pakar Hubungan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed melihat situasi itu dapat diselesaikan dengan baik memandangkan Malaysia dan China mempunyai hubungan erat.

Jelasnya, walaupun China dengan Malaysia sering kali tidak sependapat dalam isu pertikaian Kepulauan Spratly dan tuntutan di kawasan perairan Laut China Selatan, namun hubungan itu lebih kepada pertelingkahan kenyataan-kenyataan umum dan tidaklah bersifat ugutan atau ancaman.

Hubungan Malaysia dan China juga dijangka tidak terjejas sehingga wujudnya ketegangan diplomatik walaupun penegasan bahawa penerokaan minyak akan terus dilakukan di perairan Sarawak.

* Farah Shazwani Ali ialah wartawan meja am Sinar Harian

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!