Kegiatan 'swinger' yang amat menakutkan

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

JIKA sebelum ini kita sering mendengar individu yang tertarik dari segi seksual terhadap kanak-kanak iaitu pedofilia, tetapi hari ini muncul pula aktiviti ‘swinger’ yang sangat menakutkan.

‘Swinger’ ialah kegiatan dan ketagihan suami isteri yang terjebak dalam kumpulan seks bertukar-tukar pasangan.

Sangat menghairankan bagaimana budaya itu boleh meresap ke dalam fikiran segelintir rakyat Malaysia.

Apa puncanya sehingga mereka tergamak melakukan perbuatan tidak bermoral itu.

Media tempatan April lalu melaporkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan kegiatan ‘swinger’ di Kedah dan Johor.

Sindiket ini licik dan dikesan beroperasi secara dalam talian termasuk Telegram dan X.

Modus operandi kumpulan ini ialah memuat naik klip video pendek melalui platform X dan individu yang berhasrat mendapatkan video lucah berdurasi penuh dikenakan bayaran RM100 ke RM400.

Tidak cukup dengan itu, baru-baru ini, seramai 36 individu termasuk penjawat awam dan penuntut universiti ditahan kerana disyaki terbabit aktiviti persundalan seks bebas bertukar pasangan.

Artikel Berkaitan:

Kesemua individu itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di ibu negara dan Puchong, Selangor pada Ogos lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus berkata, pihaknya merampas sejumlah wang tunai, peralatan komputer, telefon bimbit dan peralatan seks.

Amat membimbangkan apabila siasatan polis mendapati subscriber aktiviti haram itu melalui akaun keldai yang diwujudkan mengumpul 147,000 ahli dan kebanyakannya rakyat Malaysia.

Bayangkan, hanya untuk menjadi ahli, subscriber perlu membayar RM388 untuk membentuk komuniti seks bebas dengan yuran penyertaan RM400 seorang.

Bukan itu sahaja, caj RM350 pula akan dikenakan kepada ahli yang mahu menyertai aktiviti ‘swinger’ tersebut.

Itulah kebimbangan dan ketakutan yang perlu terus diberi perhatian kerana jenayah sebegitu sudah pasti membinasakan budaya masyarakat Malaysia.

Sudah tentu tindakan penguatkuasaan bersepadu sangat penting dalam mengambil tindakan undang-undang secara menyeluruh.

Kerajaan juga perlu mencari medium tepat bagi memantau aktiviti gelap itu daripada terus menular.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!