Jumpa pistol, dadah: Yusoff Rawther dibawa ke mahkamah

Muhammed Yusoff Rawther (dua dari kanan) dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis, selepas polis menemui dua pistol dan dadah dalam kenderaan dinaikinya.
Muhammed Yusoff Rawther (dua dari kanan) dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis, selepas polis menemui dua pistol dan dadah dalam kenderaan dinaikinya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis, selepas polis menemui dua pistol dan dadah dalam kenderaan dinaikinya.

Muhammed Yusoff yang memakai baju T berwarna hitam dalam keadaan bergari dibawa oleh pihak polis pada jam 9 pagi.

Pada Rabu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan, lelaki itu akan dituduh selepas ditahan di Jalan Bukit Kiara, di sini bagi membantu siasatan kes terbabit.

Sementara itu, peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, Muhammed Yusoff yang direman selama enam hari sejak Sabtu lalu, akan didakwa berhubung penemuan senjata dan bahan terlarang terbabit.

Katanya, anak guam telah menyatakan secara jelas kepada pihak berkuasa bahawa senjata dan 305 gram disyaki dadah jenis ganja, bukan miliknya dan tiada kena mengena dengan barangan terlarang tersebut.

Peguam itu juga memberitahu, ujian saringan air kencing anak guamnya juga didapati negatif.

Mahkamah Tinggi di sini sebelum ini, menetapkan perbicaraan penuh berhubung saman Muhammed Yusoff terhadap Anwar berhubung dakwaan serangan seksual terhadapnya akan bermula pada 16 Jun tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Pada 14 Julai 2021, dia memfailkan saman mendakwa telah diserang Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu secara seksual pada Oktober 2018, beberapa hari sebelum Anwar memenangi Pilihan Raya Kecil Port Dickson.

Dakwanya lagi, beliau mengalami trauma fizikal, psikologi dan sosial yang serius akibat kejadian tersebut, dan menuntut ganti rugi khas, am, teruk dan teladan serta faedah, kos dan relif lain.

Muhammad Yusoff meletakkan jawatan sebagai pembantu penyelidik Anwar pada 24 Jun 2019.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!