Wanita warga emas rugi RM206,900 diperdaya scammer

Seorang wanita warga emas berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM206,900 lesap akibat terpedaya dengan panggilan telefon yang mendakwanya terlibat aktiviti penipuan siber dan penggubahan wang haram. Gambar hiasan
Seorang wanita warga emas berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM206,900 lesap akibat terpedaya dengan panggilan telefon yang mendakwanya terlibat aktiviti penipuan siber dan penggubahan wang haram. Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita warga emas berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM206,900 lesap akibat terpedaya dengan panggilan telefon yang mendakwanya terlibat aktiviti penipuan siber dan penggubahan wang haram.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, pihaknya menerima laporan polis daripada warga emas berkenaan jam 1.31 tengah hari pada Rabu.

"Dalam laporannya, mangsa pada Julai 2023, pada jam 2.30 petang telah menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Kementerian Komunikasi yang memberitahu mangsa terlibat dengan kes penipuan siber.

"Mangsa yang menafikan perkara tersebut kemudiannya telah dihubungi pula oleh dua individu yang mengaku sebagai pegawai polis bernama 'Tuan Omar' dan Inspektor Khoo Lee Feng yang memaklumkan mangsa terlibat dengan siasatan jenayah penggubahan wang haram.

"Mangsa kemudiannya diminta memberikan maklumat berkenaan akaun bank miliknya dan turut memberikan nombor OTP (one time password) kepada 'Tuan Omar' bagi tujuan siasatan selain mangsa perlu merahsiakan perkara tersebut daripada pengetahuan sesiapa sehingga arahan lanjut diberikan," katanya.

Beliau menambah, ketika memuat semakan akaun bank Jumaat lalu, mangsa mendapati sebanyak 12 transaksi pemindahan wang berjumlah RM206,900 telah dilakukan mulai 14 September hingga 14 November 2023 daripada akaun bank miliknya kepada enam akaun bank berbeza.

Sehubungan itu, katanya, mangsa yang mengesyaki dirinya telah ditipu kemudiannya membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu yang jika sabit kesalahan, akan dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh disebat dan didenda.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan juga meliputi penglibatan 'kedai akaun' dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun terlibat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!