Yusoff Rawther didakwa edar kanabis, berdepan penjara seumur hidup

Muhammed Yusoff Rawther (dua dari kanan) dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis, selepas polis menemui dua pistol dan dadah dalam kenderaan dinaikinya.
Muhammed Yusoff Rawther (dua dari kanan) dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis, selepas polis menemui dua pistol dan dadah dalam kenderaan dinaikinya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis, dalam kenderaan dinaikinya minggu lalu.

Muhammed Yusoff, 31, yang memakai baju T berwarna hitam dalam keadaan bergari, mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret S Arunjothy.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 305 gram di kawasan tempat letak kereta hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada jam 10.15 pagi pada 6 September lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan juga hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman sementara tertuduh diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 12 November depan untuk laporan kimia berhubung kes tersebut.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan penahanan Muhammed Yusoff berhubung penemuan dua pistol tiruan dan ganja.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu beliau berkata, suspek ditahan reman selama enam hari sejak Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Mahkamah Tinggi di sini sebelum ini, menetapkan perbicaraan penuh berhubung saman Muhammed Yusoff terhadap Anwar berhubung dakwaan serangan seksual terhadapnya akan bermula pada 16 Jun tahun depan.

Pada 14 Julai 2021, dia memfailkan saman mendakwa telah diserang Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu secara seksual pada Oktober 2018, beberapa hari sebelum Anwar memenangi Pilihan Raya Kecil Port Dickson.

Dakwanya lagi, beliau mengalami trauma fizikal, psikologi dan sosial yang serius akibat kejadian tersebut, dan menuntut ganti rugi khas, am, teruk dan teladan serta faedah, kos dan relif lain.

Muhammad Yusoff meletakkan jawatan sebagai pembantu penyelidik Anwar pada 24 Jun 2019.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!