PAFA kekal harga tiket
PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) tidak berhasrat mengikut pendekatan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dengan memperkenalkan harga tiket mengikut ‘kelas’ perlawanan pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020.
Sebaliknya, PAFA akan terus mengekalkan harga tiket sedia ada kepada peminat dan penyokong bola sepak termasuk daripada pasukan lawan yang bertandang ke Stadium Perak.
Setiausaha Kehormat PAFA, Mohamad Azlin Mohd Nadzri berkata, pihaknya tidak bercadang menaikkan harga tiket bagi tempat duduk terbuka mahupun grandstand demi menarik minat lebih ramai penyokong ke stadium.
“Kita akan terus kekalkan harga tiket sebab kita rasa ia lebih sesuai dengan keadaan di Perak ketika ini. Lagipun kita nak tarik lebih ramai orang tidak kira penyokong Perak atau penyokong pasukan lawan datang ke Stadium Perak.
“Bagi saya, FAS mungkin sudah mempunyai perancangan mereka yang tersendiri apabila mengenakan harga tiket berbeza-beza mengikut perlawanan tertentu,” katanya kepada Sinar Harian.
Ketika ini, PAFA mengenakan harga tiket tempat duduk terbuka adalah RM12 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak berusia 5 hingga 7 tahun, manakala tempat duduk grandstand bagi dewasa pula adalah RM25 dan kanak-kanak (RM12).
Terdahulu, FAS memaklumkan harga tiket (terbuka) bagi perlawanan pasukan yang dikategorikan sebagai Tier 1 membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah, Perak, Pahang dan Terengganu adalah RM20 manakala aksi Tier 2 melibatkan Felda United, PDRM, Melaka United, Sabah, PJ City FC dan UiTM FC ditetapkan pada harga RM15.
Dalam pada itu, Mohamad Azlin berkata, pihaknya sedang merancang untuk menyusun semula jadual latihan membabitkan pasukan di bawah naungan PAFA di Kompleks Bola Sepak Perak, Chepor.
“Sebenarnya buat masa ini setiap pasukan kita seperti Perak, Perak II, pasukan Piala dan Piala Belia sudah memiliki lokasi latihan masing-masing. Bagi skuad Liga Super, mereka berlatih di Stadium Perak dan skuad Piala Presiden di Padang Pernama.
“Bila dah terima kunci kompleks ini, kita akan susun semula jadual pasukan mana yang sesuai untuk berlatih di situ sebab kita tak dapat nak tampung semua pasukan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!