PGA8 rampas 1,000kg beras seludup di Pasir Mas
KOTA BHARU - Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) merampas 1,000 kilogram (kg) beras bernilai RM14,260 yang dipercayai diseludup masuk dari Thailand dalam Op Taring Wawasan dekat Jeram Perdah, Pasir Mas pada Rabu.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, rampasan itu dilakukan selepas pasukannya bertindak menahan sebuah kereta pada pukul 10 pagi yang dipandu seorang suspek dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata, suspek kemudian bertindak keluar dari kenderaannya dan melarikan diri ke dalam semak berdekatan.
"Kita percaya suspek sebahagian ahli sindiket penyeludupan beras dan bertindak sebagai penghantar barangan itu ke lokasi berkenaan.
"Pemeriksaan lanjut dalam kenderaan terbabit menemukan beberapa guni beras yang dianggarkan seberat 1,000kg dipercayai untuk pasaran tempatan di Kelantan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994 dan kesemua hasil rampasan diserahkan kepada Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!