Pasangan madu sepakat uli, jual piza bakar bersama

Nur Faizah (kiri) bersama madunya, Sarinah menunjukkan pizza yang sedia untuk dimasak dan dihidangkan kepada pelanggan ketika ditemui di Warung Seni Bidadara Pizza dekat Kampung Lubuk Kawah, Besut.
Nur Faizah (kiri) bersama madunya, Sarinah menunjukkan pizza yang sedia untuk dimasak dan dihidangkan kepada pelanggan ketika ditemui di Warung Seni Bidadara Pizza dekat Kampung Lubuk Kawah, Besut.
A
A
A

BESUT - Bagi pasangan berpoligami mungkin tidak ramai boleh bersikap terbuka seperti seorang wanita dari Kampung Keruak, Hulu Besut di sini yang sama-sama mengusahakan perniagaan piza bakar menggunakan kayu api bersama madunya.

Menurut Nur Faizah Jaafar, 49, dia telah mengusahakan pelbagai jenis piza di Warung Seni Bidadara Pizza bersama madunya, Sarinah Ismail, 51, yang merupakan isteri kedua suaminya, Che Ku Arshad Che Ku Rani, 51, sejak empat tahun lalu.

Menurutnya, dia mempelawa madunya itu untuk membantu menjalankan perniagaan bersama-sama di Kampung Lubuk Kawah, di sini ekoran kekurangan tenaga kerja.

"Pada 2016 saya dan suami menjalankan perniagaan piza yang sama di Laman Seni Rajawali dekat Cenderawasih, Kuantan sebelum mengambil keputusan menutupnya ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dan kembali ke kampung halaman kami di sini.

"Kami buka kembali kedai ini di Besut pada 2020. Selepas beroperasi semula, saya tidak mengambil pekerja lain kerana mahu melakukannya bersama madu dan dibantu oleh anak-anak serta suami," katanya di sini pada Khamis.

Nur Faizah memberitahu, keunikan piza yang dihasilkan itu kerana ia dimasak menggunakan relau konkrit binaan sendiri yang digelar 'gok' menggunakan bahan bakar kayu api.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, terdapat enam jenis piza yang disediakan iaitu piza daging pepperoni, ayam pepperoni, tuna, daging salai, ayam istimewa serta makanan laut.

"Sebenarnya, lokasi jualan piza ini yang agak menarik kerana ia dikelilingi pemandangan sawah padi yang menghijau yang memberikan ketenangan kepada mereka yang berkunjung ke sini.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kita juga mempunyai pelbagai saiz bermula daripada saiz kecil, sederhana, XL dan XXXXL yang dijual pada harga RM20 hingga RM62 mengikut jenis dan saiz," katanya.

Nur Faizah berkata, dia mengambil tugas pembakaran piza sementara Sarinah akan menguli doh mengikut cita rasa dan pilihan pelanggan.

Katanya, piza yang dibakar menggunakan kayu api perlu sentiasa dipantau dengan teliti api bagi memastikan ia masak dengan sempurna dan tidak hangit.

"Proses membakar piza menggunakan relau agak berbeza berbanding menggunakan ketuhar.

"Piza ini akan dimasak selama 10 minit menggunakan kayu api sehingga membangkitkan aroma yang unik.

"Setiap hari kira-kira dua kilogram doh piza akan disediakan dengan bahan hiasan di atasnya menggunakan sayuran atau bahan mentah yang segar.

"Apabila cuti sekolah, kami akan tambah kuantiti doh kepada 10 kilogram untuk memenuhi peningkatan pelanggan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!