Buang stigma bukan Melayu pengundi PH-DAP - Afnan Hamimi

Pas perlu menghapuskan anggapan bahawa bukan Melayu adalah pengundi Pakatan Harapan (PH) dan DAP semata-mata. Gambar kecil: Afnan Hamimi
Pas perlu menghapuskan anggapan bahawa bukan Melayu adalah pengundi Pakatan Harapan (PH) dan DAP semata-mata. Gambar kecil: Afnan Hamimi
A
A
A

TEMERLOH - Pas perlu menghapuskan anggapan bahawa bukan Melayu adalah pengundi Pakatan Harapan (PH) dan DAP semata-mata.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden menegaskan, stigma tersebut perlu dibuang jauh oleh ahli parti ekoran ia hanya tanggapan politik yang sempit.

"Kita kena hapuskan tanggapan yang mengatakan kalau pengundi bukan Melayu, tentu akan sokong DAP, sokong PH. Tidak betul, bukan begitu cara berfikir.

"Kita kena sedar ada ramai juga pengundi bukan Melayu yang sebenarnya tidak bersama DAP atau PH, malah sebilangan mereka berani berterus terang meluahkan ketidakpuasan hati terhadap parti-parti berkenaan melalui video dalam Tik Tok dalam bahasa Melayu.

"Mereka fasih berbahasa Melayu, tidak seperti seorang dua menteri di Parlimen yang tidak faham apa yang dia cakap. Betul-betul 'kong kali kong',” katanya ketika menyampaikan ucaptama Muktamar Pemuda Pas kali ke-65, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berharap ahli-ahli sayap parti segera bertindak dan berusaha untuk menarik pengundi bukan Melayu atau bukan Islam.

Tanggungjawab itu menurut Afnan Hamimi, tidak boleh diletakkan kepada Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) semata-mata, sebaliknya dipandu oleh Pemuda Pas.

"Jika perlu ada kelas belajar bahasa Mandarin, belajar. Jika perlu bercakap Tamil, silakan. Dewan Pemuda pernah ada kelas seumpama itu, sekali.

Artikel Berkaitan:

"Inilah sebenarnya agenda dakwah yang kita tidak boleh pinggirkan. Tugas menyampaikan dakwah kepada rakan-rakan bukan Melayu dan bukan Islam ini juga adalah tugas para nabi," ujarnya.

Sebelum ini Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut dilapor mengingatkan ahli-ahli parti itu supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada pengundi Melayu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Malah Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut menggesa wujudkan muafakat baharu di negeri-negeri lain termasuk di Sabah dan Sarawak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!