Gadis 19 tahun didakwa tekap sudu besi panas pada kanak-kanak di pusat jagaan

Puteri Nurin Amalina diiring polis ketika hadir ke mahkamah
Puteri Nurin Amalina diiring polis ketika hadir ke mahkamah
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pembantu penjaga kanak-kanak di sebuah pusat jagaan didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas empat pertuduhan melakukan penderaan fizikal terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun, Ogos lalu.

Tertuduh, Puteri Nurin Amalina Ahmad Daud, 19, yang akan mencapai usia 20 tahun pada 22 September ini bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Datin Surita Budin dan Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut empat pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun telah menganiayai mereka dengan cara menekap sudu besi panas di lengan mereka sehingga menyebabkan kecederaan fizikal seperti melecur.

Kesalahan itu dilakukan sekitar bulan Ogos di sebuah pusat jagaan di Taman Merbok Ria di Rasah, Seremban.

Puteri Nurin Amalina berdepan empat pertuduhan melakukan penderaan fizikal terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun.
Puteri Nurin Amalina berdepan empat pertuduhan melakukan penderaan fizikal terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a), Akta Kanak-Kanak 2001[Akta 611] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Noraziha Asmuni dan Syamimi Farhana Muhammad A Aziz tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan dilakukan adalah kesalahan jenayah yang melibatkan kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

Kata mereka, sekiranya tertuduh diberikan jaminan, dibimbangi dia akan mengulangi kesalahan sama kepada kanak-kanak lain.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu diberikan jaminan rendah kerana menghidap sakit saraf dan tulang belakang, tetapi tidak pernah mendapatkan rawatan di hospital.

Dia juga memberitahu sejak bekerja selama lima bulan di pusat jagaan terbabit, dia tidak diberi gaji melainkan elaun RM300 sebulan.

Bagi dua pertuduhan dibacakan di hadapan Surita, beliau menetapkan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin.

Katanya, tertuduh juga tidak dibenarkan mengganggu mangsa, melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sekiranya ada.

Bagi dua pertuduhan dibacakan di hadapan Meor Sulaiman, beliau tidak membenarkan jaminan.

Kesemua kes disebut semula pada 18 Oktober depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!