Mahkamah benar kerajaan tangguh pindah milik tanah Jalan Duta

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan kerajaan untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan pemindahan hak milik tanah Jalan Duta. Gambar hiasan
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan kerajaan untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan pemindahan hak milik tanah Jalan Duta. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Kerajaan berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, untuk menangguhkan keputusan pemindahan tanah di Jalan Tuanku Abdul Halim yang sebelum ini dikenali Jalan Duta di Mukim Batu di sini, kepada Semantan Estate Sdn Bhd.

Ia membabitkan kawasan yang dikenali sebagai 'Duta Enclave' kepada pemilik asal syarikat itu, yang menempatkan antaranya bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Arkib Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan.

Penangguhan pengembalian tanah seluas 106.542 hektar diberi sehingga selesai rayuan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya kelak.

Hakim, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Kerajaan, selepas mendapati terdapat keadaan khas yang membolehkan mahkamah, membenarkan permohonan penangguhan itu.

Ketika memutuskan demikian, beliau berkata, ketika ini, bangunan dan kemudahan yang dibina atas tanah tersebut menempatkan sejumlah besar kakitangan dan sumber manusia. termasuk pelbagai jenis aset awam.

“Apatah lagi rekod-rekod sejarah yang berharga, telah tersimpan dalam Arkib Negara.

“Jika permohonan penangguhan tidak diberi dan pihak yang menuntut secara serta-merta bebas untuk melakukan apa sahaja tindakan, ia akan menyebabkan akibat yang tidak dapat dipulihkan,” katanya.

Susulan itu, hakim ini berkata, permohonan penangguhan mesti diluluskan sementara menunggu keputusan rayuan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mahkamah membenarkan permohonan penangguhan, tanpa perintah mengenai kos.

Beliau juga berkata, keputusan ini tidak akan memprejudiskan Semantan Estate.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili kerajaan berkata, rayuan kerajaan ini akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 19 September ini.

Pada 7 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pelikuidasi Semantan Estate untuk mendapatkan semula tanah yang menempatkan beberapa kompleks bangunan kerajaan kepada syarikat berkenaan.

Hakim yang sama, memutuskan demikian selepas mahkamah membenarkan permohonan syarikat terbabit untuk menguatkuasakan perintah 2009.

Menerusi keputusan penghakimannya, beliau memerintahkan kerajaan melaksanakan syarat yang diminta dalam tempoh tiga bulan penghakiman berkenaan.

Beliau juga membenarkan pelikuidasi syarikat sebagai pemilik asal tanah dan kerajaan diarah membayar kos sebanyak RM50,000.

Mahkamah juga membenarkan permohonan syarikat selaku plaintif, agar kerajaan mendaftarkan pelikuidasi Ladang Semantan sebagai pemilik rasmi tanah dan bebas daripada bebanan.

Ia termasuk kertas kerja undang-undang yang diperlukan secara lengkap untuk memindahkan hak milik tanah, mengeluarkan hak milik tanah baru atas nama pelikuidasi dan mengembalikan pemilikan fizikal tanah kepada pemilik sah.

Keputusan itu sekali gus menyelesaikan pertikaian tanah sivil antara paling lama di Malaysia sejak merdeka iaitu selama hampir tujuh dekad.

Semantan Estate mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada Oktober 2021 yang menolak permohonan semakan kehakiman oleh Semantan Estate untuk mendapatkan semula tanah seluas 106.542 hektar di sini.

Semantan Estate memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap beberapa responden, termasuk kerajaan Malaysia, mendapatkan perintah mandamus, antara lain mengarahkan responden untuk memindahkan hak milik tanah tersebut kepada syarikat itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!