Pemimpin DAP wajar contohi MCA, jaga sensitiviti masyarakat
ALOR SETAR - Pemuda UMNO Pokok Sena menyarankan agar pemimpin DAP, khususnya Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok belajar untuk menjaga sensitiviti masyarakat majoriti dengan mencontohi MCA yang dipimpin Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad berkata, biarpun MCA merupakan parti yang dianggotai masyarakat bukan Melayu namun parti itu tidak menjadikan retorik murahan sebagai modal politik untuk mendapatkan ‘political mileage’.
Menurutnya, ketika menjadi sebahagian daripada kerajaan, MCA dilihat lebih mementingkan isu rakyat yang kritikal untuk dibahaskan seperti pengangkutan dan logistik, kos sara hidup dan isu-isu berkepentingan rakyat.
“Saranan ini juga ditujukan khas kepada ahli-ahli Parlimen DAP yang mempertahankan tindakan Teresa dan memperlihatkan beliau seolah-olah mangsa keadaan.
“Ini termasuk pemimpin muda seperti Ketua Pemuda DAP, Dr Kelvin Yii Lee Wuen yang seharusnya menghentikan budaya ‘menegakkan benang yang basah’ dalam politik. Ia bagi memastikan politik tanah air lebih telus dan matang,” ujarnya.
Sebelum ini, Teresa yang juga Naib Presiden DAP dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.
Menurut beliau, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil selain menambahkan kos pentadbiran.
Mohd Farhan turut menyifatkan tindakan Teresa menyentuh isu sensitiviti umat Islam sebagai tidak wajar.
“Beliau sepatutnya tunjukkan contoh yang baik khususnya kepada golongan muda, bukan hanya mempertahankan pimpinan namun perlu ikhlas bersama suara rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.
“Pimpinan DAP harus belajar tentang pematuhan piawaian sijil halal. Sikap toleransi dalam memahami adat budaya dan sensitiviti sesama kita amat penting untuk perpaduan kaum,” ujarnya.
Menurutnya, pensijilan halal bukan sahaja merujuk kepada makanan yang dihasilkan dari bahan yang sah di sisi syarak, malah bersifat toyyiban, iaitu menjamin kebersihan penghasilan makanan tersebut selain memastikan segala peralatan digunakan dalam proses pembuatan makanan dari sumber yang bersih.
Mengulas mengenai tindakan Teresa mengemukakan surat tuntutan (LOD) terhadap Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung isu berkenaan, Mohd Farhan menyifatkan ia tindakan kurang bijak.
“Teresa harus sedar setiap tindakan akan mengundang akibat. Tindakan Muhamad Akmal sangat wajar kerana beliau menerangkan secara umum tentang kepentingan sijil halal kepada pengguna Islam.
“Beliau juga menerangkan tentang proses mendapatkan sijil halal yang mudah dan tidak membebankan peniaga seperti didakwa Teresa,” ujarnya.
Menurutnya lagi, perkara ini harus diteliti secara terperinci kerana kualiti Pensijilan Halal Malaysia bukan sahaja mudah dimohon malah mempunyai kualiti terbaik di peringkat antarabangsa dari aspek pematuhan syarak bagi memastikan tahap kebersihan terjamin.
“Politik merupakan suatu medan yang harus meletakkan kepentingan untuk menjaga rakyat, bukannya bermain dengan retorik murahan.
“Agenda politik matang perlu diletakkan atas landasan utama dalam setiap perjuangan parti bagi memastikan politik dilihat relevan dan tidak menjadi medan perselisihan antara kaum,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!