'9 daripada 10 pesalah seksual adalah individu rapat dengan ibu mangsa'

Kajian mendedahkan sembilan dari 10 pesalah seksual terutama pedofilia adalah individu yang rapat dengan ibu mangsa. Gambar hiasan. Gambar kecil: Akhbar Satar
Kajian mendedahkan sembilan dari 10 pesalah seksual terutama pedofilia adalah individu yang rapat dengan ibu mangsa. Gambar hiasan. Gambar kecil: Akhbar Satar
A
A
A

SHAH ALAM - Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya sentiasa mengawasi aktiviti dalam talian anak-anak serta tidak membenarkan mereka bercuti bersendirian atau bermalam di rumah orang yang tidak boleh dipercayai.

Ketua Pengarah Institut Jenayah dan Kriminologi dari HELP University, Datuk Seri Dr Akhbar Satar berkata, ia kerana kajian mendedahkan sembilan dari 10 pesalah seksual terutama pedofilia adalah individu yang rapat dengan ibu mangsa.

Menurut beliau, pencegahan jenayah sedemikian tidak sepatutnya digalas oleh polis semata-mata, tetapi ia tanggungjawab ibu bapa juga.

"Ibu bapa mesti buang rasa malu untuk berbicara tentang pendidikan seksual kanak-kanak selain mengajar anak-anak kenal pasti bahagian badan dan sentuhan selamat supaya mereka sedar apa yang boleh atau sebaliknya.

"Mereka perlu ambil perhatian dan bertindak balas jika ada orang dewasa terlalu ingin berkawan dengan kanak-kanak.

"Kerap periksa pusat asuhan kanak-kanak dan jangan benarkan mereka berjalan bersendirian, bercuti atau bermalam dengan orang lain selain yang boleh dipercayai," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, tular di media sosial apabila seorang pemandu bas sekolah dikenali sebagai 'Abang Bas' bertindak merakam video kanak-kanak perempuan hingga mengundang reaksi pelbagai pihak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri telah mengarahkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) untuk membuat laporan polis dan bersedia untuk bekerjasama dengan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Johor bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, pemandu bas berusia 24 tahun terbabit ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, pada jam 2.57 pagi Jumaat dan direman selama lima hari atas dua pertuduhan.

Akhbar memaklumkan, ibu bapa juga diingatkan untuk tidak mempercayai seseorang hanya kerana gelaran, status atau kedudukan kerana pesalah seksual kebiasaannya bekerja di tempat yang penuh dengan kanak-kanak.

Justeru, tambahnya, sokongan ibu bapa dan bimbingan daripada kaunselor amat diperlukan untuk mangsa gangguan seksual pulih seperti sedia kala.

"Pakar ada menyatakan bahawa sesetengah ibu bapa kanak-kanak yang mengalami penderaan seksual juga boleh berdepan gangguan mental dan menyumbang masalah kesihatan mental untuk generasi akan datang.

"Pada Julai 2024, 'Internet Watch Foundation' (IWF) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengenal pasti bahawa peningkatan teknologi kecerdasan buatan (AI) dieksploitasi untuk menghasilkan bahan penderaan seksual kanak-kanak menerusi 'dark web'.

"Pedofilia menggunakan AI untuk mengambil gambar kanak-kanak dan menjadikannya kelihatan seolah-olah bogel atau terlibat pengantunan seksual dalam talian.

"Justeru, agensi penguatkuasaan undang-undang, pakar keselamatan siber atau penggodam etika perlu bekerjasama untuk meningkatkan keselamatan kanak-kanak bagi mencegah penderaan seksual dan eksploitasi dalam talian," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!