'Sabar Din, kami ada' - Keluarga 'Abang Bas'
BATU PAHAT - Keluarga kepada 'Abang Bas' yang dihadapkan sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis tidak dapat menahan sebak dan berpelukan dengan tertuduh.
Suasana bertambah sedih apabila bapa dan ahli keluarga lain kepada 'Abang Bas' berada berhampiran kenderaan polis yang hendak membawanya keluar dari mahkamah.
Sejurus melihat 'Abang Bas' dalam kereta polis, mereka kemudian berpelukan sambil menangis dan memohon supaya lelaki itu bersabar.
"Sabar Din, kami ada," demikian kata seorang ahli keluarga kepada 'Abang Bas'.
Sebelum meninggalkan mahkamah, 'Abang Bas' turut dilihat menghadiahkan 'mini love' kepada ahli keluarganya.
Sebelum itu, lelaki berusia 24 tahun mengaku tidak bersalah dan mohon dibacarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Osman Affendi Mohd Shalleh.
'Abang Bas' dihadapkan ke mahkamah pada Khamis kerana didakwa menggunakan aplikasi TikTok dengan menghantar komen jelik dalam videonya, bulan ini.
Dia ditawarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Batu Pahat.
Selain itu, dia turut berdepan dua pertuduhan Mahkamah Sesyen Muar pada Selasa dengan dengan ditawarkan ikat jamin RM30,000 dikenakan terhadapnya.
Sebelum ini, tular di aplikasi TikTok memaparkan seorang lelaki dipercayai pemandu bas sekolah menggelar seorang penumpangnya yang dipercayai pelajar sekolah rendah sebagai orang disukainya atau 'crush' dan 'kesayangan'.
Hantaran itu mendapat kecaman orang ramai yang berpendapat ianya tidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
Susulan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) membuat laporan polis mengenai satu hantaran yang tular di media sosial.
Tertuduh yang masih bujang ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kluang, kira-kira jam 2.57 pagi Jumaat lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!