Pemilihan penyedia teknologi HSR masih dibuka - MyHSR Corp

Pemilihan penyedia teknologi untuk projek HSR Kuala Lumpur-Singapura masih dibuka. Gambar hiasan
Pemilihan penyedia teknologi untuk projek HSR Kuala Lumpur-Singapura masih dibuka. Gambar hiasan
A
A
A

SEOUL - Pemilihan penyedia teknologi untuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura (KL-SG) masih dibuka, kata Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corporation Sdn Bhd, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal.

"Lebih banyak pilihan dari segi penyedia perkhidmatan termaju, lebih baik untuk MyHSR Corp dari segi menjamin nilai untuk Malaysia,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Persidangan Kerjasama Infrastruktur Global (GICC) 2024 di sini baru-baru ini.

Menurut laporan berita pada Isnin, tiga konsortium iaitu Berjaya Rail Sdn Bhd (Berjaya Rail), konsortium YTL Construction Sdn Bhd dan konsortium dari China iaitu China Railway Construction telah disenarai pendek dan melalui penilaian untuk peringkat kertas cadangan projek HSR (KL-SG) oleh MyHSR Corp.

Bagaimanapun, Mohd Nur Ismal enggan mengulas lanjut apabila diminta mengesahkan perkara tersebut.

"Kita tunggu kerajaan memutuskannya (membuat keputusan)," katanya ringkas.

Laporan berita itu juga menyatakan bahawa kerajaan dijangka membuat keputusan berhubung projek itu menjelang akhir tahun ini.

Mohd Nur Ismal adalah antara penceramah di GICC anjuran Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan, pada persidangan itu beliau berkongsi kemajuan projek HSR dan peluang kerjasama yang wujud sekiranya kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek berkenaan.

Teknologi rel termaju Korea Selatan adalah salah satu teknologi berpotensi yang perlu dilihat Malaysia apabila membangunkan sistem pengangkutan berdasarkan sejarah dan rekod prestasi baik kerjasama antara kedua-dua negara.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat banyak peluang wujud dari segi meningkatkan kerjasama antara syarikat Malaysia dan Korea, malah antara kerajaan dan kerajaan. Sehubungan itu, saya harap dapat tingkatkan kerjasama itu,” katanya.

Untuk rekod, konglomerat Korea Selatan seperti Samsung dan Hyundai telah memainkan peranan penting dalam pembangunan Malaysia pada tahun1980-an dan 1990-an.

Sebagai contoh, Menara Berkembar Petronas yang ikonik merupakan salah satu projek yang paling hebat dengan satu menara dibina oleh konsortium Korea Selatan terdiri daripada Samsung C&T Corporation, Ekovest Bhd dan Tan Sri Lim Kang Hoo manakala satu lagi dibina oleh konsortium Jepun daripada MMC Engineering Services, Hazama Corporation, JA Jones Construction, Mitsubishi Corp dan Ho Hup Group.

Selain itu, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) turut menggunakan set tren elektrik (ETS) Korea Selatan untuk perkhidmatannya.

"Negara-negara dari Asia, Timur Tengah, Eropah dan Amerika Latin membentangkan kemajuan yang mereka capai dalam merevolusikan pengangkutan menerusi teknologi kereta api baharu dengan faedah yang ketara dalam pertumbuhan ekonomi, pengurangan kesesakan, kesan alam sekitar, pengurangan kematian jalan raya dan peningkatan produktiviti.

"Industri kereta api Korea Selatan pula berkongsi kemajuan yang dibuatnya terutamanya dalam teknologi HSR sejak ia mengimport sistem HSR dan rolling stock dari Perancis 20 tahun lepas hingga berjaya menjadi pengeksport sekarang.

"Malah, mereka yakin dapat melancarkan HSR berkuasa sel hidrogen pertama yang mampu mencapai kelajuan 370 km/jam menjelang tahun 2028,” katanya.

Lebih 50 institusi dari seluruh 30 negara menyertai persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu bertujuan untuk mengukuhkan perkongsian antara penggiat industri Korea Selatan dengan pemegang kepentingan utama di seluruh dunia. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!